Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Friday 21 October 2011

Tidak Jelas Tentang Kajian Tindakan?


Seorang guru pernah berkongsikan kekecewaannya dengan saya. Menurutnya dia yang tinggal beberapa hari akan berpencen (hari ini telah pun pencen beberapa hari yang lepas) merasa agak kecewa kerana kesemua hasil usahanya melakukan Kajian Tindakan (dia telah melakukan tidak kurang sepuluh kajian tindakan) telah tidak diterima oleh panel penilai untuk diterbitkan.
“Mengapa” tanya saya.
“Ada yang mengatakan tidak cukup data, ada yang kata tidak menepati kehendak kajian tindakan dan macam-macam lagi. Padahal saya dah banyak kali ikuti kursus Kajian Tindakan dan cuba melakukan seperti yang telah saya pelajari dan ketahui" jelasnya dengan nada kecewa.
“Boleh cikgu beri saya satu contoh kajian yang telah cikgu buat?” pinta saya.
“Boleh! Kali terakhir saya buat kajian tentang pencapaian murid sekolah saya dalam PMR yang lepas.”
“Mmmmmm...” Saya hanya dapat mengeluh perlahan. Jelaslah cikgu ini tidak faham apa itu Kajian Tindakan.
Seorang guru yang lain pula bertanyakan kepada saya, “Semasa belajar dahulu saya pernah membuat penyelidikan. Ada rakan yang mengatakan kajian itu bukan Kajian Tindakan kerana saya telah membuat kajian saintifik untuk mendapatkan data statistik yang dapat menyokong hipotetis saya.”
“Apakah reka bentuk yang cikgu gunakan?” tanya saya.
“Apa kaitannya reka bentuk dengan kajian tindakan?”
“Pada hemat saya, cikgu kena ikuti kursus tentang Kajian Tindakan” saya menyarankan kepadanya.
“Ya. Memang itulah yang saya harapkan.”
“Cikgu-cikgu saya telah banyak membuat kajian tindakan” kata Penolong Pegawai Pendidikan yang ada di situ. “Kami pernah panggil penceramah untuk mengajar kami. Sekarang saya telah mengumpulkan semua kajian-kajian tersebut dan merancang untuk diterbitkan” sambungnya lagi.
“Mmmmmmm...” begitulah respons saya setiap kali mendengar sesuatu yang agak meragukan. Alangkah terharunya saya mendengarkan harapan pegawai berkenaan sedangkan contoh guru pertama di atas telah menyatakan kekecewaannya apabila kajian yang dibuat tidak dapat diiktiraf sebagai kajian tindakan dan kajian itulah antara yang telah dikumpul untuk diterbitkan oleh pegawai tadi.
Baiklah..... apa pandangan pembaca?
Berdasarkan statistik pembaca blog ini, agak ramai pembaca yang telah melihat topik NILAI-NILAI PENDIDIKAN: SATU ANALISIS KAJIAN TINDAKAN selain pelbagai kaedah pengajaran yang telah saya kemukakan. Rasa terpanggil di hati saya untuk menjelaskan sedikit tentang Kajian Tindakan dalam blog ini. Di bawah ini saya petik beberapa perenggan bahan yang pernah saya tuliskan.
  
Penyelidikan tindakan adalah berkaitan dengan “pelaku” atau “pengamal” iaitu individu atau kumpulan individu yang melaksanakan tindakan, tugasan atau amalan professional saban hari serta cuba untuk memahami dan menambahbaik tindakan, tugasan atau amalan mereka itu. Ia adalah mengenai bagaimana individu itu cuba memahami amalan professional dari dalam (diri dan persekitarannya) dan hasilnya nanti merupakan penyelidikan yang dilakukan oleh pengamal ke atas amalan mereka sendiri dan bukan seperti bentuk penyelidikan lain yang dikendalikan oleh orang lain ke atas amalan orang lain. Penyelidikan tindakan didasarkan kepada pengalaman kerja-kerja dan amalan kehidupan guru ketika mereka melaluinya.
Carr dan Kemmis (1986) menjelaskan penyelidikan tindakan sebagai:
  • penambahbaikan amalan;
  • penambahbaikan pemahaman ke atas amalan;
  • penambahbaikan situasi-situasi di mana amalan itu berlaku / terjadi.
John Elliot (1981) menjelaskan bahawa penyelidikan tindakan merupakan satu kajian (oleh guru / pengurus sekolah) tentang situasi sosial (bilik darjah atau sekolah) dengan tujuan untuk menambahbaik kualiti amalan dalaman (pengurusan bilik darjah / pengurusan pengajaran dan pembelajaran / pengurusan sekolah) yang dilakukan oleh pengamal untuk mencari jalan menambahbaik pemahaman tentang sesuatu hal, peristiwa, situasi dan masalah agar dapat digunakan untuk membantu mempertingkatkan keberkesanan amalan (pengajaran dan pengurusan) mereka.
John Elliot menjelaskan penyelidikan tindakan sebagai penyelidikan yang mempunyai ciri-ciri berikut:
1.    Mempunyai matlamat pedagogi merangkumi semua aspek pendidikan yang baik (unggul) dan merangkumi semua mereka yang terikat dengan tanggungjawab untuk merealisaikan matlamat pedagogi tersebut di dalam amalan bekerja mereka,
2.    Berfokus kepada mengubah amalan bekerja untuk memastikan amalan tersebut menjadi lebih tekal (konsisten) dengan matlamat pedagogi,
3.    Mengumpulkan bukti-bukti sejauh mana amalan tersebut tekal atau tidak tekal dengan matlamat pedagogi
4.    Mengenalpasti dan menjelaskan ketidaktekalan antara aspirasi dan amalan. Ketidaktekalan ini menimbulkan masalah andaian-andaian dan segala kepercayaan (teori) yang secara tidak disedari telah mengukuhkan amalan dalam bilik darjah.
5.    Melibatkan para guru (pendidik) dalam proses menjana dan menguji bentuk-bentuk tindakan yang baru untuk merealisasikan aspirasi mereka seterusnya membolehkan para guru membina semula teori-teori yang dijadikan panduan dalam amalan mereka.
6.    Ia merupakan proses pedagogi yang dicirikan oleh reflexivity (tindakan refleksif) guru. Dari perspektif penyelidikan tindakan, mengajar merupakan satu bentuk penyelidikan dan begitulah sebaliknya.

Sebuah Kajian Tindakan yang baik mempunyai ciri-ciri berikut:
1. merealisasikan nilai pendidikan
2. mengintegrasi pengajaran dan penyelidikan
3. membina kurikulum
4. melibatkan pengajaran refleksif dan reflektif
5. melibatkan pengumpulan data dari pelbagai sudut
6. mendefinisikan petunjuk kualiti

Apakah maknanya?
Sekali lagi saya ingin jelaskan  bahawa enam ciri di atas merupakan ciri Kajian Tindakan yang baik. Kalau ciri-ciri tersebut tiada, ia tidak bermakna kajian yang dilakukan itu BUKAN Kajian Tindakan. Ia mungkin masih termasuk kategori Kajian Tindakan asalkan mematuhi ciri-ciri kajian tindakan seperti yang disebutkan di atas (lihat definisi John Elliot dan penjelasan yang dibuat oleh Kemmis dan Carr yang saya catatkan: Oh ya masih terdapat banyak definisi yang lain tetapi untuk sekadar panduan, definisi Elliot bolehlah digunakan). Cuma kajian tindakan tanpa ciri yang baik, pasti akan diperlekehkan oleh panel penilai.
Untuk huraian ciri yang baik ini, sila lihat blog saya di
Maaf. Blog sham494 ini dah lama saya tak update kerana ciri interfacenya agak kurang user friendly (pandangan peribadi saya. Sebab itu saya gunakan blogspot.com ini).