Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Sunday 16 December 2012

Peranan Guru Pendidikan Islam sebagai mudarris, murobbi dan mursyid

Mudarris
Mudarris dikaitkan dengan tugas guru yang melaksanakan peranan membimbing dan mendidik. Seorang mudarris merupakan individu yang mampu mendidik murid-muridnya sehingga benar-benar berpengetahuan dan mendapatkan pengajaran (learned and learnt) tentang sesuatu yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupannya. Murid yang terdidik bukan sahaja memperolehi ilmu pengetahuan tetapi dapat memahami perkara-perkara yang tersirat daripada bahan yang dipelajari. Ini bermakna murid terdidik, jika dilihat dari perspektif Taksonomi Bloom, sebenarnya telah mencapai ke tahap mampu untuk mengaplikasi dan melakukan analisis tentang perkara yang diperolehi daripada gurunya. Sekali gus menggambarkan peranan seorang Mudarris ialah membimbing dan mendidik murid untuk sampai kepada darjah pemikiran sekurang-kurangnya pada peringkat aplikasi hingga ke tahap penilaian iaitu  berkeupayaan untuk membuat pertimbangan antara baik dan buruk, antara benar dan salah, antara berfaedah atau berguna dan tidak, antara kebajikan dan kerusakan. Sejauh mana sebenarnya guru Pendidikan Islam telah melaksanakan peranan sebagai mudarris atau sekadar menyampaikan ilmu dan kemahiran setakat pengetahuan dan kefahaman? Jawapannya ada pada diri guru itu sendiri.

Dengan mengajar sehingga tahap aplikasi, sintesis dan penilaian, bermakna peranan seorang Mudarris juga ialah mempertingkatkan keupayaan murid untuk berfikir pada  tahap tinggi yang dapat membolehkan murid membuat keputusan berdasarkan kriteria, syarat dan situasi mengikut konteks serta mampu untuk membuat keputusan yang boleh mendatangkan faedah atau kesan positif kepada dirinya dan orang lain (termasuk persekitarannya). Tidak akan sampai ke tahap Mudarris seorang guru yang sekadar menyampaikan atau memindahkan ilmu pengetahuan (masih terdapat ramai individu yang berilmu pengetahuan tentang perlakuan yang tidak baik dan boleh merusakkan tetapi masih terus berkelakuan demikian – contohnya amalan rasuah). Untuk melaksanakan peranan seorang Mudarris, guru Pendidikan Islam perlu berfungsi sebagai seorang pendorong, fasilitator, pemandu / pembimbing, jurulatih yang berkesan, agen perubahan sosial dan pembentuk budaya masyarakat.

Guru sebagai pendorong (motivator)
Di kalangan murid terdapat mereka yang kurang berminat serta tidak terdorong untuk belajar atas faktor pada diri murid serta persekitarannya. Masih terdapat ramai murid yang masih kabur tentang tujuan mereka ke sekolah. Sesetengah murid ke sekolah untuk memenuhi tuntutan pendidikan. Terdapat juga yang ke sekolah untuk berkawan dan berseronok. Sekolah juga dijadikan tempat untuk melepaskan diri daripada kongkongan dan peraturan keluarga. Seorang mudarris perlu peka dengan matlamat atau motif kanak-kanak bersekolah dan membetulkan matlamat yang salah melalui dorongan untuk belajar agar mereka lebih bersedia untuk menghadapi kerenah kehidupan.

Malas merupakan satu sifat yang memang terdapat di kalangan murid. Sifat ini perlu dinyahkan daripada murid dan mereka seterusnya didorong untuk mengambil peluang sebaik-baiknya agar menuntut ilmu dan kemahiran seperti yang telah diwajibkan sepada setiap muslimin dan muslimat. Setidak-tidaknya seorang mudarris akan mengajar dan meminta muridnya untuk menghayati doa meminta perlindungan Allah dari sifat malas dan berusaha menjadi murid contoh yang rajin dan bersungguh-sungguh.

Guru sebagai fasilitator / pembimbing
Peranan mudarris juga ialah dengan menjadi pembimbing di sisi murid. Ini bermakna, dari perspektif konstruktivisme, seorang mudarris hanya akan menyediakan perancah, iaitu asas kepada sesuatu konsep atau idea sebagai panduan yang akan digunakan oleh murid. Seterusnya murid akan digalakkan untuk meneroka dan membina ilmu pengetahun dan kemahiran secara aktif melalui aktiviti kolaborasi dan koperatif bersama rakan dan guru, di samping memperibadikan proses pembelajaran. Sebagai pembimbing, mudarris akan menyokong dan membimbing murid melalui proses perubahan yang sukar dan kompleks.

Guru sebagai agen sosial dan agen perubahan
Peranan mudarris selaku agen sosial memerlukan ia menguruskan interaksi sosial di dalam bilik darjah dalam lingkungan batas-batas akhlak. Interaksi dan perhubungan sosial yang bersifat perkembangan akan membolehkan murid bekerjasama sebagai satu pasukan melalui pembelajaran koperatif dan kolaboratif (Akhiar dan Shamsina, 2012).

Sebaliknya, selaku agen perubahan pula, seorang mudarris perlu mengajar rakan-rakan sekerja serta murid bagaimana melakukan inovasi melalui perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan. Contohnya, penggunaan alat komunikasi dan teknologi maklumat secara berkesan dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu menambahbaik budaya sekolah, bilik darjah dan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta membina ahli komuniti sekolah yang berdaya maju dan mementingkan ilmu serta perkembangan akhlak.

Murobbi
Selain mengajar, menyampaikan ilmu, mendidik serta membimbing murid, seorang guru Pendidikan Islam perlu melaksanakan peranan mengurus dan mengatur persekitaran bilik darjah (fizikal dan suasana) dan tingkahlaku murid, selain menguruskan proses pengajaran dan pembelajaran (termasuk pengurusan pentaksiran murid). Seorang Murobbi seharusnya mampu untuk berfikir, melakukan inovasi atau menghasilkan idea-idea baru berkaitan kaedah dan teknik pembelajaran. Sekali gus, seorang Murobbi adalah seorang penyelidik yang akan merefleks amalan bekerjanya dan berusaha untuk menambahbaik amalan tersebut demi kejayaan dirinya serta murid-muridnya. Seorang murobbi menyedari akauntabiliti terhadap profesion, rakan sekerja, murid, ibu bapa serta masyarakat. Juga meletakkan pengabdian terhadap Allah sebagai nilai pusat (centre of value) profesion yang dipegang. Ini bermakna seorang murobbi menyedari tentang kesalahan dan dosa seandainya mengabaikan tugas (sense of guilt and sense of sin).

Guru sebagai pengurus
Seorang murobbi perlu menguruskan pengajarannya serta pembelajaran murid, menstrukturkan bilik darjah agar terjana persekitaran pembelajaran yang kondusif. Tidak terkecuali seorang morobbi juga bertanggungjawab terhadap peranannya dalam bidang pengurusan pejabat dengan melakukan tugas-tugas perkeranian seperti menyemak buku latihan, menyemak kertas ujian, merekodkan kemajuan murid, menyimpan fail dan sebagainya. Untuk menjadi seorang pengurus pendidikan yang baik, seorang murobbi perlu memiliki portpolio profesional serta catatan refleksi amalan yang bertujuan untuk memcari peluang membuat penambahbaikan.

Guru sebagai penyelidik dan kopelajar (colearner)
Peranan murid pada masa kini tidak hanya setakat belajar atau menerima ilmu daripada guru tetapi sebagai peneroka ilmu pengetahuan dan mendapatkan makna perkara yang dipelajari itu dalam dunia sebenar. Justeru itu, peranan murobbi turut berkembang apabila perlu meneroka kaedah dan teknik pengajaran yang baru serta menghasilkan strategi yang lebih tepat dan sesuai mengikut konteks dan situasi. Hal ini hanya boleh dilakukan sekiranya murobbi melaksanakan tugas sebagai penyelidik iaitu dengan mengenalpasti kelemahan diri serta peluang peningkatan serta memahami masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid dan mula peluang yang terbaik untuk membantu proses pembelajaran murid melalui penambahbaikan amalan sendiri. 

Mursyid
Seorang Mursyid merupakan seorang guru yang telah sampai ke tahap menjadi pakar rujuk, berkeupayaan untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah pendidikan yang tidak dapat dilakukan oleh guru-guru lain. Bilangan guru yang mampu melaksanakan peranan mursyid adalah terlalu sedikit kerana guru berkenaan perlu dapat melaksanakan peranan sebagai Muallim, Mudarris, Muaddib dan Murobbi selain membudayakan dirinya untuk terus belajar, membuat penyelidikan, melaksanakan penambahbaikan pada ilmu dan amalannya serta meningkatkan darjah ketakwaan kepada Allah. Dengan segala peranannya itu, seorang mursyid akan dapat menunjukkan kebenaran kepada murid serta rakan sekerja agar redha dan mendapat keredhaan daripada Allah swt.

Seperti yang telah dijelaskan bahawa peranan sebagai penyampai risalah (rasul) hanya dikhususkan kepada individu pilihan Allah dari kalangan para nabi yang diutuskan secara khusus kepada kaum-kaum tertentu. Namun begitu, peranan untuk membina ummah akan diteruskan oleh para ulamak apabila Rasulullah saw menegaskan bahawa para ulamak merupakan waris para nabi. Waris di sini tidak disandarkan kepada pertalian persaudaraan dan tidak juga penjawatan tetapi kepada peranan dan tanggungjawab untuk menyebarkan, mendidik, membimbing umat agar hanya mempertuhankan Allah tanpa syirik, beriman dan patuh kepada tuntutan agama (perkara disuruh dan dilarang). 

Wednesday 28 November 2012

Peranan guru Pendidikan Islam sebagai Muallim dan Muaddib

Kebanyakan kita agak mengambil terlalu mudah peranan yang diamanahkan sebagai guru Pendidikan Islam. Umpama melepaskan “batok” (tempurung diguna sebagai penceduk air dari tempayan tepi tangga rumah dahulu kala– batok adalah istilah dalam bahasa jawa yang bererti tempurung dan bukan penceduk air - lihat Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka) di tangga. Ada pula sebilangan yang sangat kecil, menjadi pemusnah. Harapkan "pegar" (menurut Kamus Dewan pegar ialah sejenis burung Lophura ignita rufa- yang dieja dalam jawi menggunakan huruf-huruf pa, ga dan ro – bunyi  “peger” dalam loghat jawa) pegar makan padi :- ayam atau burung pegar ini diharapkan akan memakan ulat serta kumbang yang memusnahkan pokok padi. Guru Pendidikan Islam macam sama saja dengan guru-guru mata pelajaran yang lain (malah ada kalanya guru mata pelajaran lain lebih mampu membentuk anak didik mereka mengikut lunas Islam). Mungkin perkara ini agak pahit untuk ditelan namun realitinya pada masa kini “terpaksa” jugalah ditelan meskipun begitu pahit sekali.

Tempayan air dan batok (tempurung penceduk air)

Ayam pegar atau dikenali juga sebagai burung pegar

Terlebih dahulu guru Pendidikan Islam seharusnya memahami konsep guru itu sendiri. Terdapat bahan dalam Internet yang dikongsi sama oleh ramai guru Pendidikan Islam yang mengelirukan (Awas! Hati-hati apabila mengambil bahan daripada Internet apatah lagi untuk dilanjutkan sebarannya) apabila dikatakan bahawa istilah guru berasal dari kata “Gur” dan “Ru” (dari istilah jawa “gugu” dan digabungkan dengan kata“tiru”). Menurut Mujtahid M Ag (2011) "guru digugu dan ditiru" hanya merupakan ungkapan yang dikaitkan dengan kehidupan seseorang guru di Indonesia terutamanya di Pulau Jawa (lihat Mujtahid, 2011, dalam Pengembangan Profesi Guru terbitan UIN, Malang, Indonesia) yang menggambarkan besarnya kepercayaan masyarakat terhadap eksistensi / kewujudan individu bergelar guru. Jika diteliti, malahan dapat dikesan bahawa sebenarnya tiada singkatan Gur yang diambil dari istilah "gugu" sebaliknya jika diambil dari kata "gugu" seharusnya sukukatanya tidak menjadi "Gur" tetapi "gu" sahaja.

Istilah guru (satu perkataan dan bukan gabungan singkatan dua perkataan Gur dan Ru) merupakan istilah yang telah lebih lama digunakan khususnya oleh pengikut agama Hindu dan Sikh. Terdapat etimologi yang menyatakan bahawa istilah guru berasal dari bahasa Hindi (Benggali dan Gujerati: gu bermaksud gelap dan ru bermaksud terang) yang bermaksud “individu / pendeta yang mengajak pengikutnya beranjak dari kegelapan kepada terang” Istilah guru ini digunakan oleh pemimpin agama Hindu dan Sikhism dengan beberapa kata terbitan seperti Mahaguru, Vaheguru (dengan maksud Tuhan) atau perkataan Guru (pendidik) itu sendiri dan disandarkan kepada seseorang seperti Guru Nanak, Guru Granth Sahib dan sebagainya.

Terdapat juga maklumat yang mengatakan bahawa istilah guru dipetik daripada bahasa Sanskrit (gru atau guruh) dan daripada kelompok bahasa Sanskrit yang bermaksud berat dan dihormati – iaitu individu yang berat dan dihormati. Ia merujuk kepada individu yang mempunyai tanggungjawab yang berat yang perlu dipikul serta dihormati. Sekiranya dirujuk kepada beban tanggungjawab yang berat dan dihormati, masih terdapat banyak profesion lain yang juga dinilai "berat" dan dihormati. Maklumat ini lebih sukar untuk diterima pakai dalam konteks pendidikan berbanding istilah "guru" yang diguna pakai oleh penganut agama Hindu dan Sikhism. 

Istilah guru dengan maksud agen yang membawa pengikut daripada kegelapan kepada terang diguna pakai oleh kelompok pengikut Islam (berasal dari India lalu berkembang di kawasan nusantara bersama perkembangan agama Hindu dan Islam) dengan dibezakan dari sudut Ketuhanan yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagiNya, dengan beberapa penggunaan kata terbitan seperti Mahaguru (termasuk mahaguru silat) dan Tok Guru (pengajian pondok). Apabila kata “guru” diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris maka menjadi “Teacher”. Terdapat istilah lain yang dikaitkan dengan peranan “teacher” seperti guide, coach, facilitate, social agent, trainer, mentor dan sebagainya.

Dalam Bahasa Arab dan juga bahasa merupakan bahasa yang digunakan Al Quran (Al Quran diturunkan dalam Bahasa Arab), tidak terdapat perkataan “guru”. Sebaliknya istilah Bahasa Arab yang digunakan ialah Muallim, Mudarris, Muaddib atau Murabbi. Terdapat juga istilah Mursyid yang merujuk kepada individu pendidik dan pembimbing yang menjadi pakar rujuk (tahap tinggi) dan dikaitkan dengan ilmu Al Haq atau pengetahuan kebenaran Ilahi. Al Rasyid secara khusus ditentukan hanya untuk Allah (satu daripada 99 asma al husna). Perkataan lain yang boleh ditemui dalam Bahasa Arab ialah Rasul (penyampai risalah Tauhid). Istilah rasul tidak digunakan untuk menjelaskan peranan guru secara umum kerana penggunaannya telah dikhususkan untuk beberapa individu pilihan tertentu dalam Islam (25 Rasul yang disebut dalam Al Quran daripada 313 jumlah rasul) yang menyeru dan mengajak manusia untuk mentauhidkan Allah. Namun begitu, dalam sepotong hadis riwayat Ibn Majah, dalam as Sunan, dijelaskan bahawa Rasulullah diutus sebagai pendidik (guru) yang menjelaskan istilah rasul juga mempunyai implikasi peranan mendidik.

Istilah "cikgu" merupakan istilah yang biasa dan masih selesa digunakan di Malaysia. Murid lebih cenderung untuk menggunakan istilah cikgu berbanding guru. Kita tidak menyebut Guru Ismail tetapi kita sebut Cikgu Ismail. Selain itu, bagi guru Pendidikan Islam, istilah "ustaz" dan "ustazah" lebih selesa digunakan. Di sekolah, murid tidak menyebut Tok Guru atau Mahaguru Bunyamin tetapi Ustaz Bunyamin atau Ustazah Fitrisyah.

Walau apa pun, tanpa prejudis (dengan mengambil kira istilah guru sebagai pendidik atau cikgu) mari kita sama-sama teliti peranan guru Pendidikan Islam yang telah banyak diperkatakan tetapi tidak begitu mudah untuk diamalkan.  

Muallim
Guru sebagai muallim merupakan seorang individu guru yang menyampaikan ilmu pengetahuan serta kemahiran berdasarkan kepada ilmu yang ada padanya secara khusus seperti Ilmu Geografi, Sains, Nahu dan Sarof, Bahasa, Seerah, Matematik, Astronomi, Psikologi, Kulinari dan sebagainya. Muallim dalam konteks Pendidikan Islam seharusnya merupakan individu guru yang menyampaikan ilmu-ilmu asas Islam yang akan digunakan oleh anak didik dalam menjalani kehidupan harian mereka selaras dengan peranannya sebagai hamba Allah. Dalam konteks bilik darjah dan komponen kurikulum yang telah ditetapkan, maka seorang muallim akan menyampaikan ilmu berdasarkan kepada sukatan kurikulum dan mengikut peraturan bilik darjah yang telah ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Dalam sepotong hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah bersabda yang mafhumnya "Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat". Dalam konteks ledakan ilmu yang tidak terbatas, seorang muallim perlu lebih bersedia melaksanakan tugas menyampaikan ilmu dan kemahiran (bergantung kepada tahap murid / pelajar) agar dapat terus digunakan atau diamalkan di dalam dan di luar bilik darjah termasuk untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Meskipun di dalam hadis yang dinyatakan di atas menyebut satu ayat (minima), namun peranan seorang muallim bukan sekadar menyampaikan dalam ertikata memindahkan ilmu tetapi menyampaikan dengan huraian dan penjelasan. Tanpa penjelasan yang baik kebarangkalian murid untuk mengetahui dan memahami adalah tinggi tetapi belum menjamin dapat mengaplikasi ilmu yang diperolehi untuk membuat keputusan atau menyelesaikan masalah atau mengaplikasi ilmu untuk menghasilkan / mencipta sesuatu. Murid hanya sampai ke tahap mengetahui dan memahami (rujuk Taksonomi Bloom domain kognitif).    

Ini bermakna seorang muallim perlu menguasai ilmu pengetahuan serta kemahiran-kemahiran pedagogi yang berkaitan dengannya (bidang ilmu yang diajar) melangkaui tahap sukatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia kerana sesuatu ilmu itu akan disampaikan mengikut tahap-tahap tertentu daripada yang paling rendah hingga ke tahap paling tinggi. Dengan akses maklumat yang mudah dan cepat, kemungkinan besar terdapat murid yang mempunyai maklumat yang lebih luas daripada guru sendiri. Seorang muallim (zaman ledakan maklumat yang tidak terbatas serta tidak tersaring) tidak seharusnya mempunyai ilmu atau kemahiran yang terkebelakang berbanding murid-muridnya termasuk pengetahuan menggunakan teknologi. Tidak dapat tidak seorang muallim perlu mengamalkan budaya belajar sepanjang hayat disebabkan setiap waktu akan terdapat ilmu-ilmu baru yang perlu diketahui dan dikuasai.

Bagaimana sekiranya guru (muallim) tersebut ditanyai soalan dan ia tidak mengetahui jawapannya (hal ini adalah lazim disebabkan manusia adalah makhluk lemah dan pelupa)? Apakah yang harus dilakukannya? Murid lebih menghormati guru yang mengakui kelemahan diri dibanding dengan guru yang menipu. Oleh itu, guru perlu mengakui tidak mengetahui tetapi akan cuba mendapatkan jawapannya untuk dimaklumkan kepada murid pada waktu yang lain. Elakkan daripada merapu untuk mengelak daripada memberikan jawapan yang betul dan tepat. 

Muaddib
Penekanan kepada pembentukan tingkahlaku berdisiplin menjadi salah satu matlamat dalam pendidikan agar murid yang mendapat didikan tersebut akan dapat mengelakkan dirinya daripada terjerumus dengan gejala maksiat atau penyelewengan dan rasuah ketika menjalani kehidupan seharian. Rasuah menjadi salah satu musuh utama dalam negara dan dilakukan oleh sebahagian rakyat yang beragama Islam. Gambaran ini seolah-olah menunjukkan kegagalan peranan guru sebagai seorang muaddib.

Rassulullah saw diutus untuk membentuk akhlak yang mulia dan institusi pendidikan yang ada pada hari ini merupakan institusi yang seharusnya meneruskan peranan pembentukan akhlak yang mulia ini. Para ustaz dan ustazah (guru khusus mata pelajaran Pendidikan Islam) seharusnya menyedari bahawa pemindahan ilmu dari seorang pendidik kepada murid sebenarnya tidak mencukupi sekiranya peranan “membentuk” tingkahlaku mahmudah tidak diberikan penekanan.

Seorang Muaddid merupakan individu guru yang menjalankan peranannya untuk membentuk nilai-nilai tingkahlaku (behavior), nilai afektif serta nilai kognitif murid untuk dijadikan amalan dalam hidup mereka. Dari perspektif nilai tingkahlaku, seorang muaddib perlu membentuk muridnya agar bertingkahlaku mulia, beradab, berakhlak, berdisiplin, berpekerti mulia dan berintegriti. Dari perspektif nilai afektif pula, murid perlu dibentuk agar mempunyai nilai kasih sayang, menghargai keindahan, tidak merusakkan, melakukan kerja dengan sebaik mungkin (dengan mengambil kira nilai seni, ketahanan dan sebagainya). Seorang muaddib juga bertanggungjawab untuk membentuk pemikiran murid yang bernas, tidak berfikiran yang boleh merusakkan diri, masyarakat, harta atau alam melalui program-program prodigy (program transformasi kehidupan muda boleh dilihat di http://www.uerl.upsi.edu.my/#!prodigy-malay/cs1). Ketiga-tiga komponen tingkahlaku, afektif dan kognitif perlu dibentuk secara serentak. Contohnya, murid dibimbing untuk melaksanakan ibadat solat dengan sopan, teratur dan dengan pemikiran yang tertumpu hanya kepada Allah. Pembentukan nilai benar ini diharapkan dapat melahirkan murid yang benar-benar dapat merealisasikan kehidupan yang dapat mencegah daripada fahsya' dan mungkar dan bukan yang solat tetapi mengamalkan perlakuan yang dilarang.

Penekanan seorang muaddib juga perlu dilihat dalam peranannya membentuk murid atau anak didik yang meahami dan mengamalkan hidup berkawan, berjiran dan bermasyarakat melibatkan kemahiran berhubungan dan berkomunikasi, saling membantu dan bekerjasama ke arah kebaikan dan memahami serta menghormati orang lain.

guru sebagai mudarris ..... http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2012/12/mudarris.html


Tuesday 27 November 2012

Model Rekabentuk Pengajaran dan Model Pengajaran


Apabila saya mencari, meneroka dan membaca tentang Model Proses Rekabentuk Pengajaran (Instructoinal Design Model) dan Model Proses Pengajaran (Teaching Model) , saya akan tertanya-tanya tentang model rekabentuk pengajaran serta model pengajaran yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh Islam. Apa yang saya temui dan dikatakan sebagai model pengajaran Islam hanya merupakan kaedah-kaedah serta teknik-teknik pengajaran seperti kuliah, ceramah, talaqqi musyafahah, tadarrus, soal jawab, demonstrasi dan sebagainya. Malah terdapat buku-buku teks yang mengemukakan model pengajaran oleh tokoh-tokoh Islam (al Ghazali, Imam Malik, Imam Hanafi, Iman Hanbali atau Imam Syafie) lebih merupakan cerita tentang latar belakang pendidikan yang diterima oleh tokoh berkenaan, pengalaman kehidupannya sebagai seorang pengajar atau pengalaman melaksanakan proses pengajaran ilmu-ilmu Islam selain mengemukakan senarai buku-buku dan kitab yang telah dikarang. Selebihnya adalah kaedah serta teknik yang digunakan. Kalau ditanya bagaimana bentuk stau struktur atau konsep atau konstruk model al Ghazali, asy Syafie, Imam Hambali, Imam Malik atau Imam Hanafi?..... maka tiada satu bentuk “proses” yang dapat dikemukakan oleh penulis berkenaan (atau mungkin saya masih belum menemuinya walaupun telah puas membelek buku-buku dan mencari di celah-celah maklumat di Internet). 



Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah model dalam konteks ini? Kita tidak disajikan oleh mana-mana penulis yang cuba menerangkan model pengajaran Islam sebagai satu “proses” serta “piawai” (bertujuan untuk dibuat perbandingan kualiti) yang boleh dijadikan panduan tetapi lebih merupakan kaedah dan teknik pengajaran yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk membolehkan pembelajaran optima berlaku. 



Adalah baik kalau kita lihat semula beberapa konsep yang dikaitkan dengan pengajaran seperti pendekatan, kaedah dan teknik. Secara ringkas dan mudah, "pendekatan" merupakan teori pelajaran yang menjadi asas dan akan diaplikasikan apabila guru menyampaikan isi pelajaran. "Kaedah" pula adalah merupakan satu set tindakan bersistematik seorang guru yang dilaksanakan untuk mencapai objektif pembelajaran dalam lingkungan tempoh masa tertentu (contohnya dalam tempoh satu waktu pengajaran mengikut jadual) yang mengandungi prosedur-prosedur berdasarkan kepada pendekatan yang dipilih. "Teknik" pula merupakan bagaimana guru memanipulasikan kaedah yang dipilih tersebut untuk mengoptimumkan pembelajaran murid. Seorang guru sebenarnya adalah bebas untuk membina kaedah pengajaran berdasarkan kepada pendekatan. Perhubungan dan kaitan antara pendekatan, kaedah dan teknik menghasilkan model. Sesebuah model akan menghuraikan kaedah dan strategi pengajaran yang didasarkan kepada pendekatan pengajaran.  



Jika diteliti, segala model pengajaran yang kita pelajari yang telah dikemukakan dalam bentuk gambaran konsep / konstruk / struktur oleh tokoh-tokoh pendidikan barat seperti Taba dan Ausubel (pendekatan kognitif), Vygotsky (pendekatan konstruktivisme), Model 5E (Bybee) dan Model 7E (Eisenkraft) berdasarkan pendekatan konstruktivisme), dan banyak lagi.  Rasanya tidak perlu saya masukkan gambaran model-model tersebut sebab boleh dilihat dalam Internet. Apa yang penting ialah kita dapat memahami bagaimana sesebuah model pengajaran itu terbina. Apakah yang mencirikan sesebuah model pengajaran?



Elemen-elemen utama sebuah model pengajaran

  1. Fokus Setiap model pengajaran akan mempunyai objektif yang dikenal sebagai titik tumpuan (focal point). Sebuah model pengajaran dibina dengan mengambil kira titik tumpuan ini. Dalam perkataan lain, tumpuan model pengajaran inilah yang akan menentukan pembinaan sesebuah model pengajaran yang mengandungi beberapa fasa. Beberapa kecekapan akan terbentuk melalui aplikasi model pengajaran.
  2. Sintaks  meliputi turutan langkah-langkah (sequences of steps) yang terlibat dalam pengorganisasian program pengajaran yang lengkap.
  3. Prinsip-prinsip riaksi / pengajaran merupakan cara bagaimana guru menanggap dan menjangkakan respons terhadap aktiviti yang dilakukan oleh murid. Respons ini perlu sesuai dan bersifat selektif.
  4. Sistem sosial Ia berkaitan perkara berikut:

a. Hubungan dan peranan interaktif antara guru dan murid.
b. Jenis-jenis norma dan tingkahlaku murid yang diperhatikan dan perlu diberikan ganjaran (seperti gred dan skor)

  1. Sistem sokongan  berkaitan keperluan tambahan yang diperlukan selain kemahiran guru mengajar seperti bahan bantu, prasarana dan sebagainya. 
  2. Konteks aplikasi seperti "concept development" dan sebagainya. 
Tunggu buku saya seterusnya untuk mendapatkan alternatif model pengajaran berdasarkan al Quran yang sedang dalam penghasilan. 

Monday 19 November 2012

Jenis-jenis strategi pembelajaran

Dalam tulisan saya sebelum ini, saya telah menyentuh dengan agak panjang lebar tentang strategi npengajaran dan pembelajaran (lihat http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2012/06/pedagogi-strategi-pengajaran-dan.html). Bahan ini sebenarnya tidak begitu terperinci memandangkan terdapat batasan tertentu untuk diterbitkan dalam bentuk digital. Untuk mendapatkan keperincian tentang tajuk tersebut, insyallah, saya dan rakan penulis saya, akan menerbitkan satu lagi buku baru khusus mengenai Pedagogi Pendidikan Islam.

Dalam tulisan pada hari ini, saya akan menyentuh tentang tiga jenis strategi iaitu 1) strategi pengorganisasian pembelajaran  2) strategi penyampaian konten pembelajaran dan 3) strategi pengelolaan pembelajaran.

Strategi pengorganisasian pembelajaran
Reigeluth, Bunderson dan Merrill (1977) menamakan strategi pengorganisasian pembelajaran sebagai strategi struktural (structural strategy). Menurut mereka, strategi struktural merujuk kepada cara menyusun dan mensentisis turutan fakta , konsep, prosedur dan prinsip-prinsip yang saling berkaitan. Terdapat dua pecahan strategi ini yang dinamakan sebagai strategi makro dan strategi mikro.

Strategi mikro memberi penekanan kepada pengorganisasian pengajaran berdasarkan satu topik dan melibatkan komponen strategi seperti definisi, contoh dan amalan. Strategi makro pula melibatkan pengorganisasian pengajaran untuk menunjukkan  perkaitan (interrelationships) antara aspek-aspek dalam kandungan mata pelajaran. Pada peringkat paktikal, strategi mikro memberikan garis panduan bagaimana mengajar satu topik atau konsep atau prinsip secara spesifik manakala strategi makro menunjukkan bagaimana isi kandungan pelajaran disusun mengikut sekuen untuk menggambarkan saling perkaitan antara topik, konsep atau prinsip.

Menurut Reigeluth dan Stein (1983) pengorganisasian pembelajaran dilakukan dengan mengambilkira empat perkara (4S) iaitu selection, sequencing, synthesizing, dan summarizing.

Selection atau pemilihan merupakan pemilihan idea daripada isi pelajaran yang akan diajar untuk mencapai objektif atau matlamat pembelajaran bagi setiap unit (Reigeluth & Darwazeh, 1982).

Sequencing atau menyusun mengikut turutan dilakukan dengan tujuan untuk mempercepatkan dan memudahkan pembelajaran (Reigeluth & Darwazeh, 1982) iaitu dengan mengikut prinsip daripada umum kepada spesifik (Mayer, 1981) atau turutan daripada mudah kepada kompleks.

Tujuan melakukan sintesis pula adalah untuk menunjukkan perhubungan antara idea yang saling berkaitan. Dengan cara ini murid boleh melihat bagaimana kesemua idea yang berkaitan itu dapat membentuk satu skema konsep yang lebih besar.

Summarizing atau membuat rumusan bertujuan untuk menyemak semula pelajaran dan bahan-bahan berkaitan untuk membolehkan maklumat kekal lebih lama dalam ingatan.

Strategi penyampaian isi kandungan pelajaran
Strategi ini merupakan komponen kaedah semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Tujuan strategi ini adalah untuk:
1. menyampaikan isi pelajaran
2. menyediakan maklumat dan bahan yang diperlukan untuk menyokong dan meneroka isi pelajaran

Strategi pengelolaan pembelajaran
Strategi ini pula bertujuan untuk mengatur kaedah untuk membolehkan murid dapat berinteraksi secara aktif dalam proses pembelajaran. Ia berkaitan dengan pemilihan kaedah manakah yang paling sesuai digunakan dengan mengambil kira jadual pelaksanaan, penilaian kemajuan murid dan motivasi.

Apakah implikasinya kepada guru dan perancangan pengajaran?

Friday 9 November 2012

Buku Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru


Buku terbaru dalam pasaran. 

Isi Kandungan: 

Bab 1: Konsep Mengajar Sebagai Satu Profesion
Konsep profesion
Ciri Asas Profesion
Konsep profesionalisme
Ciri-ciri guru profesional
Guru efektif

Bab 2: Kod Etika dan Akauntabiliti Guru
Konsep Etika
Kod Etika Keguruan Malaysia
Standard Guru Malaysia
   Standard 1: Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan
      Domain Diri
      Domain Profesion
      Domain Sosial
   Standard 2: Pengetahuan dan Kefahaman
   Standard 3: Kemahiran Pengajaran dan Pembelajaran
Akauntabiliti Guru
Integriti Guru
   Faktor Menjejaskan Integriti

Bab 3: Isu-isu Etika Guru
Kesantunan Guru
Kepedulian Guru
Penampiulan Guru
Berniaga di Sekolah
Kerjaya Sambilan
Pengurusan Masa
Pengurusan Kewangan

Bab 4: Peringkat Perkembangan Guru
Model Fuller dan Brown
Model Katz
Model Huberman
Model Lima Peringkat reyfus dan Dreyfus
Guru Pakar

Bab 5: Peranan Guru Sekolah Rendah
......
......
......
......

Bab 6: Kepemimpinan Guru
Asas Kepemimpinan
Gaya Kepemimpinan
Strategi Kepemimpinan Pendidikan
Teori Kepemimpinan Guru
Kepemimpinan Sekolah
Cabaran Kepemimpinan Sekolah
Cabaran Guru Masa Kini

Bab 7: Struktur Organisasi Pendidikan
Struktur Organisasi Kementerian Pelajaran Malaysia
Struktur Organisasi Sekolah
Tugas dan Tanggungjawan Guru
Jangkaan Guru
   Ketepatan
   Kajian Pygmalion
   ....
   ....

Bab 8: Perkembangan Profesional Guru
Pembelajaran Sepanjang Hayat
Pelan Pembelajaran Peribadi
......
......
......
......
......

Untuk mengetahui kandungan selengkapnya, dapatkan buku tersebut di pasaran. 

Tuesday 16 October 2012

Doa vs Niat. Satu renungan untuk beranjak dan berinovasi.

Lazimnya seorang guru Pendidikan Islam akan memulakan sesi pengajaran dengan doa belajar seperti di bawah (atau selainnya).
Terdapat beberapa soalan yang ingin saya kemukakan iaitu adakah dengan doa tersebut maka ia bermakna murid telah berniat untuk belajar kerana Allah (sebagai satu amalan atau ibadat)? Kalau pun ia sudah termaklum masuk ke dalam niat yang disengajakan, sejauh mana pula murid menyedari bahawa ia sebenarnya bertanggungjawab ke atas niat belajar tersebut? Atau ada di kalangan murid yang sekadar mengeluarkan ucapan umpama burung kakak tua yang boleh berkata tanpa memahami dan bertanggungjawab dengan kata-kata tersebut (dan belajar sambil lewa)? Elok kita lihat senario yang berlaku dalam kelas Pendidikan Islam. Andainya kajian dibuat melalui temubual, mungkinkah ramai bilangan murid yang tidak dapat mengaitkan doa dengan niat? Untuk berdoa sendiri memerlukan niat. 

Katakanlah semasa ingin berdoa telah termaktub niat untuk belajar lillahi taala. Persoalannya sejauh mana secara sedar murid memang memasang niat untuk belajar lillahi taala? Atau tidak sedar? Kalau tidak sedar, bagaimana niat itu disengajakan (intentionally) atau memang berlaku secara tidak sengaja (terlazim)? Atau belajar disebabkan mata pelajaran berkenaan terdapat dalam jadual waktu (kurikulum)? Perkara yang membezakan antara ibadat dan bukan ibadat ialah niat. Bukan semua yang berhijrah dari Makkah ke Madinah mempunyai niat hijrah kerana Allah dan Rasul. Terdapat perbezaan yang besar antara belajar untuk pandai atau kerana terpaksa dengan belajar sebagai satu ibadah kerana Allah dan Rasul.

Segala persoalan ini timbul apabila saya melihat impak mempelajari Pendidikan Islam ke atas penghayatan adalah agak tipis. Gejala kemungkaran di kalangan murid Islam sekolah rendah memang boleh ditutup tetapi kita memang sedar ia sebenarnya berlaku. Artikel ini ditulis bukan bertujuan mencari kesalahan sesiapa tetapi apa dan bagaimana boleh dilakukan agar murid yang mempelajari Pendidikan Islam akan benar-benar terdidik dengan akhlak Islam. Saya melihatnya dengan adanya niat yang membolehkan murid sedar tanggungjawab mereka tentang pelajaran Pendidikan Islam, mungkin dapat membantu. Dan niat tersebut mungkin dapat menjadi pemangkin terkabulnya doa belajar yang dilakukan pada awal pelajaran kerana niat seseorang itu akan mempengaruhi tingkahlakunya. Apa kata kalau kita stres atau berikan penekanan kepada niat dan diikuti dengan doa sebelum belajar? Begitulah yang tuan-tuan guru lakukan apabila menekankan kepentingan lafaz niat (untuk solat dan ibadat lain) dan bukan sekadar lintasan di dalam hati. Salahkah mencuba? Kesannya mungkin tidak dapat dilihat dalam waktu terdekat. Mungkin ada yang membantah kerana tidak ada bukti yang menyokong (khususnya golongan positivists yang memerlukan bukti empirikal). Kaum terdahulu banyak meminta bukti daripada Tuhan tetapi setelah bukti diberikan pun mereka masih tidak percaya.  Dan ramai terus bersikap reaktif dengan peristiwa meskipun diberitahu berkali-kali agar bersikap proaktif. Kita juga akan begitukah? 

Seringkali terjadi umat Islam adalah umat yang terkemudian walaupun dalam kuliah agama ramai cendekiawan Islam kata umat Islam patut mendahului dan menjadi contoh. Buktinya, apabila orang lain telah adakan Bank Konvensional, lama kemudian baru wujud bank dengan amalan islam tanpa riba. Begitu juga dengan Insurans, penciptaan pelbagai peralatan dan sebagainya. Ayuh, Guru Pendidikan Islam perlu memulakan langkah menjadi contoh. 

Marilah kita cuba. 

Thursday 20 September 2012

Lagi pasal Jurnal Reflektif


Bahan ini dipetik daripada Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2010) Rancangan Pengajaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Puchong. Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

Jurnal Reflektif: Jurnal Reflektif merupakan satu bentuk penulisan ilmiah mengenai sesuatu peristiwa, masalah, pencapaian atau bidang yang perlu diberi penekanan oleh guru berkaitan dengan pengalaman mengajar atau semasa melakukan sesuatu tugas untuk menggalakkan pemikiran reflektif. Jurnal bertujuan membantu bakal guru merenung, menilai dan menjadikannya sebagai asas untuk mengambil tindakan susulan bagi menyelesaikan sesuatu masalah / meningkatkan lagi keberkesanan mengikut jangka masa yang ditetapkan sendiri. Proses penulisan jurnal boleh berbentuk formal atau tidak formal. Ia boleh dalam bentuk penggambaran satu peristiwa yang signifikan atau satu aspek pembelajaran yang perlu diberikan tumpuan oleh murid.

 

Cadangan untuk menulis jurnal reflektif:

1. Gunakan agenda

  • Jelaskan konteks masalah atau isu yang timbul.
  • Apakah maklumat tambahan yang boleh digunakan?
  • Apakah kaitannya dengan isu-isu yang lain? Apakah dan siapakah yang boleh membantu?
  • Apakah andaian saya? Bagaimana saya menguji andaian-anadain tersebut?
  • Apakah yang boleh saya lakukan untuk menghasilkan perubahan?
  • Apakah kemungkinan hasilnya?
  • Apakah tindakan yang perlu saya ambil? Mengapa?
  • Senarai hasil yang ingin dicapai.
  • Refleksi ke atas hasil yang diperolehi.
  • Apakah yang perlu saya lakukan pada masa akan datang?

2. Fokus kepada pengalaman dan fikirkan apa yang perlu ditulis

Renungkan tentang pembacaan yang pernah dibuat berkaitan pengajaran dan pembelajaran dan gunakan soalan-soalan di bawah sebagai panduan.
  • Apakah prinsip-prinsip pengajaran dan pembelajaran yang boleh dikaitkan dengan peristiwa yang berlaku?
  • Apakah yang boleh saya ubah berkaitan dengannya?
  • Apa akan terjadi sekiranya saya mengubahnya?

 

3. Fokuskan peristiwa kritikal yang terjadi di dalam bilik darjah.

  • Jelaskan peristiwa berkenaan sejelas mungkin.
  • Apakah andaian-andaian yang telah saya gunakan?
  • Adakah cara lain untuk melihat peristiwa ini?
  • Bagaimana murid akan menjelaskan tentang peristiwa ini?
  • Apa yang boleh saya lakukan?

 

4. Ambil kira apa yang anda pelajari

  • Apakah perkara paling penting yang telah saya pelajari tentang pembelajaran murid?
  • Apakah perkara paling penting yang telah saya pelajari tentang pengajaran saya?
  • Apakah perkara paling penting yang telah saya pelajari tentang murid saya?
  • Bagaimanakah pengajaran yang saya perolehi dapat membantu pembelajaran murid saya?

Hatton dan Smith (1995) menyatakan terdapat empat tahap penulisan yang dikenalpasti dalam penulisan jurnal refleksi oleh guru-guru dalam seliaan beliau iaitu penulisan deskriptif, refleksi deskriptif, refleksi dialog dan refleksi kritikal.

Penulisan deskriptif merupakan penulisan yang menerangkan keadaan atau peristiwa di bilik darjah dengan hanya menulis tarikh, tempat tanpa sebarang penerangan mengenai sebab, akibat dan kaitan peristiwa dan kesannya terhadap sikap dan kepercayaan penulis.

Contohnya, Rabu (16/09/09), Tahun 3M, kebanyakan murid berbuat bising dan berbual sesama sendiri semasa penerangan menyelesaikan masalah operasi bercampur nombor bulat dijalankan. Hanya beberapa orang murid sahaja yang memberikan perhatian. Secara keseluruhannya kelas berada dalam keadaan yang sukar dikawal.

Refleksi deskriptif adalah penulisan yang mempunyai penerangan sebab dan akibat mengenai peristiwa yang terjadi secara jelas dengan ciri-ciri ta’akulan dan renungan terhadap peristiwa dan memberi alasan dan justifikasi ke atas perkara yang berlaku.

Contohnya, kebanyakan murid mendiamkan diri dan menundukkan muka apabila diajukan soalan. Mungkin kerana mereka malu sekiranya jawapan yang diberikan tidak menepati  jawapan yang sebenar. Mungkin juga mereka merasa takut kalau jawapan yang diberikan kelihatan bodoh dan menjadi bahan ejekan kawan-kawan.

Penulisan refleksi dialog adalah penulisan refleksi yang mengandungi kata-kata merujuk kepada bisikan hati guru kepada peristiwa yang sedang direnungkannya. Penulisan ini boleh dilihat dengan mudah bila guru mengemukakan soalan dan menjawab persoalan yang difikirkan sendiri. Ia seakan-akan satu perbincangan dengan diri sendiri.

Contohnya, mengapa murid kurang berminat dengan pelajaran hari ini? Adakah saya suara saya yang agak kuat pada hari ini menjadi puncanya? Adakah kesan marah saya pada awal pengajaran menyebabkan mereka begitu? Ya, mereka pasti takut.

Refleksi kritikal adalah jenis penulisan refleksi yang mengaitkan peristiwa di bilik darjah dengan hal-hal di luar rutin bilik darjah. Ianya lebih menekankan kaitan peristiwa dengan hal-hal seperti falsafah diri guru sendiri, falsafah mata pelajaran, perancangan, isu-isu pengajaran dan pembelajaran, perpaduan, politik, ekonomi dan sosial.

Contohnya, Murid kurang memberi perhatian. Sebagai guru, saya perlu mengenalpasti apakah yang menyebabkan murid jadi begitu dan tidak seperti lazimnya. Semasa mengajar saya kurang melibatkan mereka dan kaedah ini menyebabkan mereka jadi pasif (refleksi dalam tindakan). Mengapa saya tidak terlintas untuk menukar kaedah waktu itu (releksi atas tindakan)? Saya harus menukar kepada kaedah yang boleh melibatkan murid secara menyeluruh seperti melalui kaedah pembelajaran koperatif dan kolaboratif dalam kumpulan kecil (refleksi untuk tindakan).

Thursday 26 July 2012

Lanjutan daripada Jurnal Reflektif Minggu ke 12


Pada minggu lalu iaitu antara 19 hingga 26 Julai 2012, pos Jurnal Reflektif Minggu ke12 (http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/08/jurnal-reflektif-minggu-ke12.htmlmendapat hit yang paling banyak iaitu sebanyak 84 hit berbanding pos lain (dan yang terhampir ialah pos Refleksi Kritikal sebanyak 55 hit). Sebenarnya saya tidak pun membuat apa-apa penilaian terhadap penulisan jurnal reflektif pelajar saya tersebut (sama ada baik, terbaik, sangat baik, lemah, sangat lemah atau sederhana).  Saya cuma mengemukakan cadangan (dan komen di http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/08/komen-saya-tentang-refleksi-minggu-ke.html) agar merujuk kepada empat aktiviti utama refleksi kritikal yang dikemukakan oleh Brookfield (1988) selain daripada mengaitkan dengan refleksi dalam tindakan dan atas tindakan (Schon, 1983) serta refleksi untuk tindakan (Cowan, 1997).

Menurut ensaiklopedia dalam talian Wikipedia (2012) refleksi dalam sains fizik merupakan perubahan arah gelombang pada satu permukaan yang membuatkannya kembali kepada media asalnya. Menurut kamus dalam talian Meriam Webster  (2012) refleksi merupakan imej yang terhasil daripada pantulan pada sesuatu permukaan.  Dalam konteks pendidikan, amalan refleksi merupakan keupayaan untuk membuat refleksi ke atas sesuatu tindakan agar terlibat dalam proses pembelajaran berterusan (Schon, 1983). Bolton (2010) pula menjelaskan refleksi sebagai memberi perhatian secara kritikal ke atas nilai praktikal dan teori yang dapat menjelaskan tentang tindakan setiap hari dengan  cara memeriksa amalan secara reflektif dan refleksif sehingga membuahkan perkembangan celik akal. Pennington (1992)menyatakan bahawa istilah pengajaran reflektif sebagai analisis yang dibuat oleh guru yang bekerja, ke atas amalan bekerjanya serta analisis ke atas asas-asas yang mendasari amalan tersebut, seterusnya mengambilkira alternatif lain untuk mencapai matlamat. Beliau seterusnya menambah bahawa penggunaan istilah refleksi dalam konteks pengajaran boleh diinterpretasikan sebagai 1) pertimbangan pemikiran serta 2) mencerminkan atau mewakili.

Berdasarkan daripada maksud refleksi seperti yang dikemukakan di atas, pengamal refleksi tidak seharusnya menceritakan tentang diri orang lain tetapi tentang amalan yang dapat menggambarkan tentang dirinya sendiri. Dewey (1933) telah lama menyatakan bahawa refleksi itu adalah ke atas pengalaman diri sendiri yang membawa kepada pembelajaran dan bukan semata-mata pengalaman itu sendiri. Refleksi bukan sekadar berfikir bersungguh-sungguh tentang apa yang dilakukan (Bullough dan Gitlin, 1995) tetapi dengan memberi perhatian kepada pengalaman dan bagaimana sesutu makna digarab daripada pengalaman tersebut mengikut konteksnya serta bagaimana pengalaman tersebut membentuk amalan / tingkahlaku.

Refleksi kritikal pula pergi lebih jauh daripada aspek-aspek teknikal sesuatu pengalaman kepada bersifat peribadi, etika dan dimensi politik pengajaran. Refleksi adalah mengenai keadilan sosial, kesamaan dan perubahan. Refleksi merupakan inkuiri pedagogi dan kurikulum, andaian-andaian yang mendasarinya, akibat-akibat daripada tindakan dan implikasi moral tindakan tersebut dalam struktur persekolahan (Liston dan Zeichner, 1987). Clarke (1995) menjelaskan bahawa refleksi bukan sekadar mengenai satu peristiwa tetapi muncul sepanjang masa ketika guru mula membina makna untuk dirinya.

Ketika menyentuh tentang kriteria penulisan refleksi secara mendalam, Moon (1999) telah membahagikan penulisan refleksi kepada dua bahagian iaitu produk dan proses. Produk melibatkan nilai kuantiti (panjang penulisan, persembahan dan kekerapan) dan kualiti (ekspresi, kejelasan dan menyeluruh). Proses pula melibatkan nilai relevan (kefahaman, aplikasi kepada mata pelajaran, hubungannya dengan tujuan, bukti peningkatan) dan kedalaman (pemikiran kritikal, kejujuran, kemahiran kognitif, mengeneralisasi pengalaman, sintesis, analisis dan penilaian).

Kepada pembaca bahan Jurnal Reflektif Minggu ke 12, saya harap anda membuat pertimbangan berdasarkan tulisan di atas ketika mengambil penulisan jurnal pelajar saya sebagai contoh. 

Thursday 19 July 2012

Pedagogi: Bagaimana mengaktifkan murid di dalam kelas?

Apabila bercakap tentang pembelajaran abad 21 ini, ahli-ahli pendidikan akan mengaitkan dengan pembelajaran berpusatkan murid atau berlaku pembelajaran aktif di kalangan murid di dalam bilik darjah. Secara spontan pemikiran kita akan terus membuat perbandingan antara pembelajaran aktif dengan pembelajaran pasif. Apakah yang membezakannya? Apa juga idea baru yang dikemukakan, pasti akan ada kritikan daripada golongan yang mempunyai pemikiran agak berbeza, kesan dari pegangan mazhab pembelajaran yang berbeza. Bagi sesetengah pendidik, mereka berhujah.... bagaimana hendak membezakan pembelajaran aktif dan pasif kerana adalah mustahil pembelajaran boleh berlaku dalam suasana pasif. Bezanya hanya pada kadar keaktifannya. Apabila murid senyap, tidak ada bukti yang boleh dilihat untuk mengatakan murid pasif sepenuhnya kerana minda mereka akan terus memproses dan menyimpan maklumat yang diterima. Mereka mungkin menghadapi masalah pemahaman tetapi masalah pemahaman itu tidak semestinya dapat dirungkai di dalam kelas (kekangan masa dan tahap kesukaran topik / konsep yang dipelajari) . Mereka mungkin akan berkolaborat dengan ibu bapa, adik beradik, rakan di luar sekolah atau guru tuisyen untuk memastikan mereka memahami konsep yang dipelajari. maknany pembelajaran masih aktif.

Apabila murid bergerak di dalam kelas, adakah ia benar-benar menggambarkan pembelajaran aktif semua murid? Bagaimana sekiranya ada yang hanya bergerak untuk menyalin atau meniru tanpa memahami mengapa dan bagaimana. Dari aspek tingkahlaku memang kelihatan aktif tetapi minda tetap pasif. 

Meskipun pelbagai hujah boleh dikemukakan (dan ianya baik untuk aktiviti minda), namun secara umum, pembelajaran aktif masih dapat dibezakan daripada pembelajaran “pasif” atau “kurang aktif”. Cuba perhatikan situasi berikut:

Situasi A: Setelah membuat penjelasan tentang sesuatu konsep, guru akan bertanya kepada murid dengan “Ada apa-apa soalan?” atau “Ada bahagian yang kamu tidak faham?” atau “Adakah anda semua telah jelas?”.

Situasi B: Setelah membuat penjelasan tentang sesuatu konsep, guru bertanyakan soalan  “Berdasarkan kepada pengajaran saya tadi, yang manakah benar antara a) solat fardu wajib dilakukan di dalam waktu-waktunya dan b) solat fardu dibolehkan untuk dilakukan di luar waktunya? Siapa yang mengatakan a, sila angat tangan. Ada sesiapa yang mengatakan b? Atau ada sesiapa yang mengatakan a dan b? Sila jelaskan alasan anda.”

Situasi A lebih bersifat pengajaran tradisional dan lazimnya tiada murid akan mengaku tidak faham atau berkeinginan untuk bertanya kecuali murid berkenaan memang dari kalangan yang suka bertanya. Kita tidak dapat nafikan bahawa terdapat murid yang mempunyai hati yang terang (dengan izin Allah) serta mampu memahami pelajaran yang disampaikan tetapi secara umumnya bilangan tersebut terlalu sedikit untuk dibuat kesimpulan bahawa semua murid telah memahami pelajaran. Bagi kebanyakan pengkaji, inilah yang dimaksudkan dengan pembelajaran pasif.

Situasi B. Meskipun keadaan di awal pengajaran adalah sama dan serupa, cara guru menyoal murid akan membezakan antara pembelajaran aktif dan pasif. Saya percaya ramai pembaca akan bersetuju dengan jawapan a. Mungkin tiada murid menjawab b. Bagaimana kalau ada? Dan bagaimana kalau ada yang mengatakan a dan b adalah betul? Tentulah mereka perlu memberikan hujah dan alasan. Proses  berfikir berlaku. Bagaimana sekiranya murid mengatakan b juga betul untuk orang musafir yang melakukan solat jama’? Ekorannya murid lain akan melakukan proses metakognisi dengan mula memikirkan cara mereka berfikir. Dalam situasi B, guru baru bertanyakan satu soalan sahaja. Bagaimana sekiranya guru telah menyediakan beberapa soalan? Akan aktifkah murid? Anda tahu jawapannya.

Situasi A banyak kita temui dalam kuliah-kuliah agama di masjid dan surau (satu bentuk penerusan tradisi). Kelas agama di masjid atau surau juga adalah proses pembelajaran tetapi memang agak sukar untuk mengajak manusia (gurunya) beranjak daripada cara tradisi di mana para pendengarnya pasif kepada melibatkan agar para pendengar turut aktif dalam proses pembelajaran. Malangnya tradisi di masjid dan surau ini sering terbawa-bawa ke dalam kelas. Adakah dengan terlaksananya situasi B di dalam bilik darjah, maka murid hilang adab belajar dan hormat terhadap guru? 

Situasi A boleh diumpamakan sebagai pengisian air ke dalam gelas (dan gelas itu tidak berbuat apa-apa: pasif). Situasi B pula umpama memberikan lilin bercahaya kepada murid. Situasi A ialah memberikan ikan tetapi situasi B adalah mengajarkan kemahiran membuat joran dan memancing.

Berbalik kepada pembelajaran aktif, untuk memastikan pembelajaran aktif berlaku, beberapa elemen perlu terlaksana di dalam kelas.

1.       Murid diminta memberi idea serta cadangan, pandangan, berbincang, menyoal.
2.       Murid perlu mendengar maklumat yang bermakna dengan mengaitkan ilmu baru dengan pengetahuan sedia ada (guru boleh melakukan semakan atau membuat penilaian formatif secara lisan)
3.       Murid perlu terlibat dengan aktiviti lisan seperti perbincangan dan kolaborasi, menulis kritikal dan kreatif, melukis, melakar atau melakukan sesuatu (mind/head-on, hands-on dan feel/heart/emotion-on)
4.       Murid perlu terlibat dengan aktiviti membaca (bukan sekadar paroting atau mengajuk), mencari serta mengumpul maklumat relevan.
5.       Murid perlu melakukan aktiviti refleksi pelajaran: apakah yang telah dipelajari, apakah maknanya, bagaimana perasaan setelah melalui proses pembelajaran, apakah yang akan dilakukan sebagai lanjutan, apakah yang telah dilakukan, bagaimana menambahbaik amalan pembelajaran topik atau konsep berkenaan dan sebagainya.


     Beberapa Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Aktif 

  1.Kerja Lapangan beserta refleksi:
  2.Pembelajaran kumpulan kecil / koperatif dan kolaboratif:
  3. Penyoalan Sokratik:  
  4. Sumbangsaran:
  5. Aplikasi Peta minda:
  6. Aplikasi Peta konsep:
  7. Analogi kognitif:
  8. Kajian kes:
  9. Simulasi:
 10.Main peranan:
 11. Debat dan hujah:
 12. Perbincangan meja bulat:




Pembelajaran Abad 21: Pembelajaran berasaskan Projek


Saya telah pun menulis tentang beberapa kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk mata pelajaran Pendidikan Islam dengan mengambil kira tuntutan kemahiran pendidikan abad ke 21 iaitu melibatkan pembelajaran berpusatkan murid, , pemikiran kritikal, inkuiri dan penyelesaian masalah, amalan koperatif dan kolaboratif. Adalah diharapkan para pembaca telah dapat memahami serta telah cuba melaksanakannya di dalam kelas. Selain daripada menguasai kandungan mata pelajaran utama yang melibatkan kemahiran 3M, murid perlu dilatih untuk menjadi pemikir kritikal berteraskan kepercayaan (aqidah) dan peraturan kesejahteraan (syariat Islam).

Sebelum meneruskan tulisan ini, elok rasanya kita semak semula apa yang disarankan oleh Bernie Trilling dan Charles Fidel (2009) berkaitan kemahiran abad ke 21. Menurut mereka berdua, murid pada abad 21 perlu menguasai kemahiran-kemahiran berikut:
·         Pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah
·         Kreativiti dan inovasi
·         Kolaborasi, kerja berpasukan dan kepemimpinan
·         Pemahaman antara budaya
·         Literasi komunikasi, maklumat dan media
·         Literasi pengkomputeran  dan TMK
·     Kerjaya dan belajar tanpa pergantungan (Career and learning self-reliance)

Apabila guru-guru Pendidikan Islam menggunakan kaedah inkuri atau penyelesaian masalah, pastikan bahawa guru-guru akan melibatkan ketujuh-tujuh kemahiran di atas meskipun sebenarnya tidaklah mesti kesemuanya sekali dalam satu pengajaran, tetapi kemahiran-kemahiran tersebut tidak seharusnya ditinggalkan atau hanya sekadar mengambil satu atau dua kemahiran sahaja.

Dalam penulisan kali ini, saya akan menulis tentang satu lagi kaedah yang boleh digunakan untuk pengajaran Pendidikan Islam untuk abad ke 21 iaitu kaedah projek.

Pembelajaran berasaskan projek merupakan kaedah pembelajaran di mana guru menyediakan projek untuk dilaksanakan oleh murid-murid. Guru akan memberikan arahan serta penjelasan tentang projekyang agak kompleks dan mencabar, yang perlu dilaksanakan. Murid pula  dikehendaki melaksanakan projek secara hands-on dan minds-on serta dengan melakukan sedikit kajian. Melalui kaedah projek, murid akan belajar untuk menyelesaikan masalah melalui proses inkuiri, berkomunikasi serta berkolaborasi, mengakses maklumat melalui Internet atau menghasilkan projek menggunakan perisian komputer, selain menggunakan pemikiran kritikal dan amalan refleksi untuk memastikan projek terlaksana dengan baik dan hasilnya akan memberi makna kepada mereka. Melalui kaedah projek, murid akan dapat menyelesaikan masalah dalam konteks dunia sebenar yang menjadi minat dan perhatian murid. Dalam melaksanakan projek, murid mungkin akan menggabungkan maklumat daripada pelbagai sumber mata pelajaran seperti Kajian Tempatan, Matematik, Sains dan sebagainya selain daripada mata pelajaran Pendidikan Islam itu sendiri. Kaedah projek membolehkan murid berfikir secara kreatif bagaimana menyelesaikan masalah atau bagaimana menghasilkan projek yang terbaik.   

Lazimnya kaedah projek melibatkan masa yang lebih panjang daripada satu atau dua waktu pembelajaran mengikut jadual waktu. Murid perlu belajar merancang dan menguruskan masa serta kerja-kerja mereka. Lazimnya pelaksanaan kaedah projek dibuat dalam bentuk kumpulan kecil wealaupun ada kalanya ia juga dilaksanakan secara individu. Sama ada secara individua tau kumpulan kecil, murid masih perlu berkolaborasi dengan orang lain untuk menghasilkan projek berkenaan.

Semasa melaksanakan projek, murid dikehendaki melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan secara mendalam tentang projek berkenaan kerana:
·         ia disusun atur sekitar persoalan terbuka atau cabaran yang membuatkan murid fokus dengan kerja atau tugas pembelajaran seperti menyoal, mengakses maklumat, merefleksi dan sebagainya.
·         ia membuatkan murid ingin tahu dan memahami  konten serta menguasai kemahiran
·         murid perlu melaksanakan inkuiri untuk belajar atau untuk menghasilkan projek. Proses inkuiri akan menggalakan murid menghasilkan idea-idea baru serta membuat interpretasi
·         murid perlu terlibat dengan komunikasi seperti berkolaborasi dan bukan sekadar mengingati maklumat dan fakta (mereka perlu terlibat dengan pemikiran aras tinggi seperti mengaplikasi, menganalisis, menilai dan menghasilkan)
·         murid perlu bekerjasama sebagai satu pasukan, menghormati pandangan rakan, memberi idea dan pandangan sendiri serta membuat persembahan laporan projek
·         murid berpeluang untuk menyatakan pandangan serta pilihan mereka sendiri serta bertanggungjawab ke atas kerja-kerja mereka (murid menjadi lebih aktif)
·         melibatkan maklum balas (daripada rakan dan guru) dan mengulangkaji pelajaran
·         berkongsi hasil dapatan / projek dengan rakan-rakan sekelas atau daripada kelas atau sekolah lain (apabila dimuatnaik menggunakan blog atau laman sesawang)

Apakah peranan guru?
Berdasarkan kaedah projek, guru berperanan sebagai fasilitator yang akan membentuk persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif serta tanggungjawab bersama. Pada peringkat awal, guru perlu menstrukturkan tugasan serta soalan-soalan yang terlibat agar murid tidak terpesong jauh daripada objektif pembelajaran yang dirancang. Untuk memastikan murid dapat melaksanakan projek dengan baik, guru disarankan untuk menyediakan rubrik panduan melaksanakan projek dan diberikan kepada murid. Terdapat dua jenis rubrik (analitik dan holistik) dan terpulanglah kepada guru, rubrik manakah yang hendak digunakan berdasarkan kepada tujuan penilaian.

Contoh projek
·         membina replika kaabah
·         amalan solat
·         nas Al Quran dan Hadis tentang puasa Ramadhan
·         menghasilkan komik tokoh ulama / pendidikan Islam
·         biografi khulafa
·         tokoh wanita muslimah
·         konsep malaikat
·         adab dengan orang tua
·         pengajaran daripada kisah para Anbia’
·         koleksi masjid di Malaysia
·         pelbagai jenis khat
·         dan sebagainya