Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Friday 29 June 2012

Pedagogi: Strategi, pendekatan, kaedah dan teknik


Istilah pendekatan, kaedah dan teknik merupakan tiga istilah yang sering mengelirukan kebanyakan orang sama ada dari kalangan guru terlatih mahupun pelatih guru. Kekeliruan ini timbul disebabkan beberapa istilah lain yang digunakan secara bersama untuk pendekatan, kaedah dan teknik. Lebih mengelirukan lagi apabila istilah itu juga digunakan untuk menjelaskan strategi. Contohnya, terdapat penggunaan deduktif dan induktif untuk strategi, pendekatan dan kaedah. Begitu juga, kita akan terjumpa pendekatan penyelesaian masalah dan kaedah penyelesaian masalah. Banyak definisi mengenai istilah satragei, pendekatan, kaedah dan teknik telah dikemukakan, namun masih sukar untuk didiskriminasikan antara satu dengan lain.

Pendekatan merupakan atau menggambarkan asas falsafah atau kepercayaan mengenai sesuatu perkara yang menjadi pegangan. Ia merupakan satu set andaian atau pandangan yang dipegang, contohnya, teori pembelajaran. Untuk mengajar satu-satu topik tertentu, akan ada beberapa pendekatan yang boleh digunakan, bergantung kepada asas teori yang membentuk pendekatan tersebut. Contohnya, pendekatan deduktif berpegang kepada asas kerangka teori stigma oleh Erving Goffman (1963) atau kerangka teori modal sosial oleh Pierre Bourdieu (1962) serta pembentukan hipotesis.

Kaedah pula lebih merupakan cara bagaimana melakukan sesuatu (aktiviti pengajaran atau pembelajaran) secara sistematik yang menggambarkan langkah-langkah yang disusun secara logik. Contohnya, kaedah deduktif bermula dengan proses menyampaikan idea umum atau konsep keseluruhan dan diikuti oleh maklumat spesifik seperti contoh-contoh yang dapat memantapkan pemahaman murid tentang konsep berkenaan.  

Teknik adalah prosedur yang telah didefinisikan dengan lebih jelas dan digunakan untuk melaksanakan sesuatu tugas atau aktiviti. Terdapat lebih daripada satu teknik boleh digunakan untuk melaksanakan kaedah deduktif. Contohnya, guru memulakan pengajaran dengan menggunakan teknik penjelasan konsep dan diikuti dengan sumbangsaran contoh-contoh spesifik. Mungkin juga guru boleh memulakan denga  teknik gambaran dan untuk mengemukakan contoh, guru menggunakan teknik penyoalan atau soal jawab.  

Jika dilihat dengan lebih teliti, pilihan susunan pendekatan, kaedah dan teknik di atas merupakan satu strategi iaitu kerangka perancangan yang direka bentuk untuk mencapai matlamat khusus pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya peranan yang lebih aktif dimainkan oleh guru seperti penjelasan konsep, pemberian contoh, refleksi dan rumusan dilakukan oleh guru, maka strateginya adalah lebih berbentuk strategi pengajaran langsung / terus atau strategi tumpuan guru. Sebaliknya jika banyak melibatkan diskusi dan sumbangsaran, maka strategi yang digunakan adalah strategi pengajaran interaktif. Begitu juga, bagi seorang guru konstruktivis, ia akan memilih strategi yang lebih berpusatkan murid seperti strategi pembelajaran individu.

Walau apa pun kesemua istilah tersebut seharusnya tidak menjadi masalah dalam pelaksanaan kerja mengikut konteks dan ‘maknanya’ kepada pengguna (guru). Masalah besarnya ialah pemahaman maksud dan definisi istilah tersebut seperti yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh pendidikan apabila dikaitkan dengan tujuan menjawab soalan peperiksaan. Istilah ‘guidance’ contohnya telah diterjemahkan kepada ‘panduan’ dan ‘bimbingan’. Dalam amalan seharian, guru boleh saja memilih istilah ‘panduan’. Dalam situasi lain, mungkin guru memilih istilah ‘bimbingan’. Percanggahan penggunaan lazimnya dikemukakan oleh tokoh berlainan mazhab (school of thought). Dalam Islam, kelainan mazhab bukan perkara masalah pokok sekiranya tidak bercanggahan dari sudut aqidah. Begitu juga dengan sesetengah istilah pendidikan, sekiranya tidak bertentangan dan tidak menyebabkan gangguan kepada proses pengajaran dan pembelajaran, malah saling membantu dalam pemahaman, maka tidak perlu dipertikaikan.

No comments:

Post a Comment