Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Thursday 19 December 2013

Refleksi Kritikal (kemas kini)



Refleksi didefinisikan sebagai: "An opportunity to examine beliefs about teaching and to use this knowledge to construct change in your practice." (Calderhead, 1989, Clift, Houston dan Rugach, 1990) dalam Huang (2001)

Roffey-Barentsen dan Malthouse (2009: ms 4): .. If you were to reflect on something in this way you may describe what happened, what you did, what others did in response and what you did after that, and then describe how you felt about it.

Boud, Keogh dan Walker (1985: ms 43):
Reflection is an important human activity in which people recapture their experience, think about it, mull over & evaluate it. It is this working with experience that is important in learning.

Penulisan Diskriptif – Diskripsi tentang peristiwa tanpa memberikan alasan atau justifikasi ke atas peristiwa tersebut.

Refleksi Diskriptif – Diskripsi peristiwa beserta alasan atau justifikasi.

Refleksi Kritikal – Berfikir tentang bagaimana dan mengapa guru mengajar begitu (seperti mana yang guru lakukan) dan seterusnya menggunakan maklumat yang diperoleh tentang diri sendiri untuk member faedah kepada murid.
  • "Mengapa berlaku begitu?"
  • "Apakah implikasinya?"
  • "Sekarang, apa yang perlu saya lakukan?"

Mezirow (1990) menganggap refleksi kritikal sebagai pelopor kepada pembelajaran transformatif, yang boleh membawa kepada perubahan pemahaman peribadi dan kemungkinan bertingkahlaku.

Schön (1983) menjelaskan dua jenis refleksi: refleksi dalam tindakan dan refleksi atas tindakan.
  
Refleksi dalam tindakan merupakan proses yang membolehkan guru membentuk atau bertindak semula apa yang dilakukan ketika sedang melakukannya. Ia merupakan eksperimen yang dijalankan secara berterusan dan dapat membantu guru untuk mencari jalan penyelesaian yang berdaya maju. Guru perlu tahu tujuan dan maksud tindakan yang dilakukan (knowing in action)
Refleksi atas tindakan pula adalah proses memikirkan semula tentang apa yang telah dilakukan dengan tujuan untuk menyedari bagaimana ‘mengetahui untuk bertindak’ boleh menyumbang kepada hasil yang diinginkan (pencapaian objektif) dan tidak pula dijangkakan.

Killion and Todnem (1991) meluaskan model Schon dengan menambah konsep refleksi untuk tindakan. Refleksi untuk tindakan merupakan panduan untuk tindakan selanjutnya pada masa akan datang berdasarkan kepada pemikiran dan tindakan lalu yang telah dilakukan. Refleksi untuk tindakan menggabungkan refleksi dalam tindakan dan refleksi atas tindakan. Cowan (1997) menjelaskan refleksi untuk tindakan sebagai penulisan refleksi untuk merancang apa yang guru bercadang untuk melakukan bagi memastikan dan memantapkan kefahaman tentang isu atau fenomena yang dihadapi.

Model Atkins dan Murphy (1994)




(Sila lihat huraiannya dalam Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin (2014), Rancangan Pengajaran Harian Edisi Kedua, Kuala Lumpur. Penerbitan Multimedia halaman 190).  

Refleksi yang baik mengandungi perkara-perkara berikut:
·         menunjukkan bukti berlaku pemikiran dan penyoalan secara serius  
·         memerlukan kesedaran kendiri serta kejujuran
·         mengandungi contoh spesifik dan konkrit
·         bersifat menyeluruh
·         tesusun dengan baik dan menggunakan istilah dan bahasa yang betul
·         menunjukkan keupayaan melakukan sintesis – mengemukakan pelbagai ide untuk   menunjukkan perhubungan antara konsep, perkaitan antara pengetahuan baru dengan pengetahuan sedia ada serta aktiviti dalam bilik darjah  semasa berlangsung proses pdp
·         menunjukkan keupayaan melakukan analisis – mencerakin idea kepada bahagian kecil dan mencantumkan semula dalam bentuk dan gaya baru

Panduan menulis refleksi


1. Gunakan agenda

  • Jelaskan konteks masalah atau isu yang timbul.
  • Apakah maklumat tambahan yang boleh digunakan?
  • Apakah kaitannya dengan isu-isu yang lain? Apakah dan siapakah yang boleh membantu?
  • Apakah andaian saya? Bagaimana saya menguji andaian-anadain tersebut?
  • Apakah yang boleh saya lakukan untuk menghasilkan perubahan?
  • Apakah kemungkinan hasilnya?
  • Apakah tindakan yang perlu saya ambil? Mengapa?
  • Senarai hasil yang ingin dicapai.
  • Refleksi ke atas hasil yang diperolehi.
  • Apakah yang perlu saya lakukan pada masa akan datang?

2. Fokus kepada pengalaman dan fikirkan apa yang perlu ditulis

Renungkan tentang pembacaan yang pernah dibuat berkaitan pengajaran dan pembelajaran dan gunakan soalan-soalan di bawah sebagai panduan.
  • Apakah prinsip-prinsip pengajaran dan pembelajaran yang boleh dikaitkan dengan peristiwa yang berlaku?
  • Apakah yang boleh saya ubah berkaitan dengannya?
  • Apa akan terjadi sekiranya saya mengubahnya?

 

3. Fokuskan peristiwa kritikal yang terjadi di dalam bilik darjah.

  • Jelaskan peristiwa berkenaan sejelas mungkin.
  • Apakah andaian-andaian yang telah saya gunakan?
  • Adakah cara lain untuk melihat peristiwa ini?
  • Bagaimana murid akan menjelaskan tentang peristiwa ini?
  • Apa yang boleh saya lakukan?

 

4. Ambil kira apa yang anda pelajari

  • Apakah perkara paling penting yang telah saya pelajari tentang pembelajaran murid?
  • Apakah perkara paling penting yang telah saya pelajari tentang pengajaran saya?
  • Apakah perkara paling penting yang telah saya pelajari tentang murid saya?
  • Bagaimanakah pengajaran yang saya perolehi dapat membantu pembelajaran murid saya?

Pada penulisan refleksi di bawah, sila kenal pasti perkara-perkara berikut:

1.      Refleksi dalam tindakan
2.      Refleksi atas tindakan
3.      Refleksi untuk tindakan
4.      Perasaan
5.      Bukti pemikiran serius
6.      Kesedaran kendiri
7.      Pelbagai ide
8.      Mencerakin ide
9.      Nilai yang menjadi pegangan
10.  Sokongan literatur

Pada suatu ketika sedang saya mengajar Kursus Penyelidikan Tindakan di bawah subtopik refleksi amalan bekerja, seorang pelajar telah menyatakan kekeliruannya dengan konsep-konsep seperti refleksi dalam tindakan, refleksi atas tindakan dan refleksi untuk tindakan. Apabila kekeliruan itu ditimbulkan, secara spontan saya telah bertanya kepada keseluruhan kelas  “Ada apa-apa lagi yang kamu ingin tahu tentang refleksi?” Agak menyeronokkan apabila soalan tersebut telah berjaya mengundang pelbagai persoalan lain seperti konsep refleksi deskriptif dan refleksi kritikal. Kebanyakan pelajar menyatakan kemusykilan pemahaman mereka tentang refleksi yang ditaklimatkan sebelum mereka pergi menjalani sesi praktikum semester lima yang lalu. Beberapa pensyarah yang menjadi penyelia praktikum telah menegur cara penulisan refleksi yang dicatatkan ke dalam folio praktikum mereka.

Saya merasa agak terkilan  kerana meskipun pelajar-pelajar tersebut telah ditaklimatkan dan diberikan contoh penulisan refleksi, mereka masih tidak berkeupayaan untuk membuat refleksi dan menterjemahkannya dalam bentuk penulisan reflektif tentang amalan bekerja mereka ke dalam jurnal praktikum. Saya bercadang untuk bertanyakan pelajar saya secara rawak dengan tujuan mengenalpasti punca sebenar kegagalan mereka menghasilkan penulisan jurnal yang reflektif. Terlintas dalam fikiran saya persoalan “Bagaimana boleh saya mengajar pelajar saya agar mereka benar-benar dapat menguasai ilmu dan kemahiran membuat refleksi, khususnya refleksi kritikal”. Bagaimana boleh saya jelaskan kepada para pelajar bahawa melakukan refleksi merupakan salah satu langkah dalam proses pembelajaran?” Dengan perkataan lain, saya mahukan pelajar saya menghayati dan mengaplikasikan pernyataan “Saya perlu melakukan refleksi berkualiti untuk membolehkan berlakunya proses pembelajaran yang optima semasa menjalani kursus Penyelidikan Tindakan bersama Pn Shamsina Shamsuddin”. Saya perlu mengetahuinya. Saya teringat kenyataan Slavin (1991) yang mendefinisikan pembelajaran koperatif sebagai “…. methods share the idea that students work together to learn and are responsible for one another’s learning as well as their own.” Saya mahu pelajar bekerja secara koperatif untuk mengetahui, memahami, mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran serta menghasilkan refleksi kritikal yang berkualiti.

Saya juga percaya bahawa tanpa menyuap pelajar dengan semua maklumat, mereka masih berpeluang untuk melakukannya dengan baik. Saya mahu mereka menggunakan pengetahuan sedia ada untuk digabungkan dengan maklumat baru yang perlu mereka terokai dan akhirnya cuba membina kefahaman sendiri tentang refleksi kritikal. Berdasarkan kepada pandangan Lev Vygotysky (1978), pengasas Social Constructivism, murid akan mendapatkan (berkolaboratif) orang lain yang diistilahkan sebagai More Knowlegable Others (MKO) untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang sesuatu konsep (dikenali sebagai Zone of Proximal Development). Saya mahu pelajar-pelajar saya melihat kesilapan mereka sebagai peluang untuk memperbaiki diri. Saya percaya bahawa dengan cara begini, pelajar akan dapat belajar dengan lebih bermakna.





























 

[1] Apabila kekeliruan itu ditimbulkan, secara spontan saya telah bertanya kepada keseluruhan kelas  “Ada apa-apa lagi yang kamu ingin tahu tentang refleksi?”
[2] Agak menyeronokkan apabila soalan tersebut telah berjaya mengundang pelbagai persoalan lain seperti konsep refleksi deskriptif dan refleksi kritikal. Kebanyakan pelajar menyatakan kemusykilan pemahaman mereka tentang refleksi yang ditaklimatkan sebelum mereka pergi menjalani sesi praktikum semester lima yang lalu.
[4] Saya merasa agak terkilan....
[3] Saya bercadang untuk bertanyakan pelajar saya secara rawak dengan tujuan mengenalpasti punca sebenar kegagalan mereka menghasilkan penulisan jurnal yang reflektif.
[5] Terlintas dalam fikiran saya persoalan “Bagaimana boleh saya mengajar pelajar saya agar mereka benar-benar dapat menguasai ilmu dan kemahiran membuat refleksi, khususnya refleksi kritikal”. Bagaimana boleh saya jelaskan kepada para pelajar bahawa melakukan refleksi merupakan salah satu langkah dalam proses pembelajaran?”
[6]... saya mahukan pelajar saya menghayati dan mengaplikasikan pernyataan “Saya perlu melakukan refleksi berkualiti....
[7], [8]....bekerja secara koperatif untuk mengetahui, memahami, mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran serta menghasilkan refleksi kritikal yang berkualiti.
[9] Saya juga percaya bahawa tanpa menyuap pelajar dengan semua maklumat, mereka masih berpeluang untuk melakukannya dengan baik.
[10]...kenyataan Slavin (1991) yang mendefinisikan pembelajaran koperatif sebagai “…. methods share the idea that students work together to learn..... pandangan Lev Vygotysky (1978), pengasas Social Constructivism, murid akan mendapatkan (berkolaboratif) orang lain yang diistilahkan sebagai More Knowlegable Others (MKO) untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang sesuatu konsep (dikenali sebagai Zone of Proximal Development).


Soalan panduan dan perbandingan penulisan refleksi cetek (tidak kritikal) dan mendalam (kritikal dan bernas)

Soalan 1: Apa yang anda ajar?
Jawapan tidak kritikal (dan silap)
Jawapan lebih kritikal dan bernas
Saya mengajar proses menunaikan solat secara individu melibatkan 13 rukun solat  serta bacaan dalam rukun qalbi, qawli dan fi’li.
Saya mengajar proses menunaikan solat secara individu melibatkan 13 rukun solat  serta bacaan dalam rukun qalbi, qawli dan fi’li.
Soalan 2: Bagaimana anda mengajar? Apakah pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang anda gunakan semasa mengajar? Model pengajaran mana yang anda gunakan?
Saya menerangkan  kepada murid tentang 13 rukun solat serta bacaan-bacaannya. Saya gunakan carta bergambar semasa menerangkan tentang rukun solat. Kemudian saya minta beberapa orang murid menyebut rukun-rukun solat. Akhir sekali saya beri lembaran kerja. Saya pun tak tahu model apa yang saya gunakan semasa mengajar.
Saya memulakan pengajaran dengan doa belajar. Pada masa yang sama saya juga berdoa agar pengajaran saya boleh difahami oleh murid. Saya menggunakan pendekatan secara langsung yang lebih berorientasikan guru dengan menggunakan kaedah penerangan secara kuliah. Semasa memberi penerangan, saya telah menggunakan carta bergambar tentang 13 rukun solat. Saya juga menggunakan teknik soal-jawab selepas memberi penerangan. Saya tidak pasti model pengajaran apa yang saya gunakan tetapi ada langkah-langkah 1 hingga 4, selepas set induksi, yang saya patuhi. Dalam langkah 3, saya telah meminta hanya 3 orang murid untuk menyatakan kesemua rukun solat yang telah dipelajari kerana masa yang suntuk. Saya membimbing murid yang masih tergagap-gagap semasa menyebut rukun solat. Akhir sekali saya berikan lembaran kerja yang bertujuan untuk menguji kefahaman murid terhadap pelajaran.
Soalan 3: Apakah bahan bantu yang anda gunakan? Bagaimana anda gunakan bahan bantu tersebut?
Carta bergambar tentang 13rukun solat mengandungi bacaannya sekali. Saya tunjuk gambar rukun solat semasa membuat penerangan. Selepas memberi penerangan, carta bergambar itu saya turunkan dan simpan.
Saya menggunakan carta bergambar tentang 13rukun solat yang mengandungi bacaannya sekali. Saya telah menunjukkan gambar rukun solat satu persatu semasa membuat penerangan sambil membaca bacaan yang perlu dalam setiap rukun. Selepas memberi penerangan, carta bergambar itu saya turunkan dan disimpan. Tujuan saya menurunkan dan menyimpan carta tersebut ialah untuk menguji kefahaman murid apabila mereka menjawab lembaran kerja di akhir sesi pdp nanti. Dengan cara itu, saya beranggapan dapat mengenal pasti sama ada objektif pengajaran telah tercapai atau tidak.
Soalan 4: Apakah isu/masalah yang berlaku apabila anda mengajar dengan cara begitu?
Murid kurang beri perhatian. Semasa beberapa murid diminta menyebut rukun solat, ada yang masih tergagap-gagap. Mereka tidak dapat menyebut dengan lancar terutama apabila melibatkan bacaan. Murid lain diam dan mendengar sahaja.
Berdasarkan kepada pemerhatian, tidak semua murid telah memberikan perhatian kepada pengajaran saya. Saya perlu menghabiskan pengajaran saya dan sebab itu, beberapa murid yang tidak beri perhatian hanya saya tegur agar menumpukan perhatian. Saya tidak seharusnya mengabaikan mereka. Mereka juga adalah murid saya. Tugas seorang guru ialah memastikan semua murid dapat mencapai objektif pengajaran yang telah dirancang lebih awal. Mungkin cara pengajaran saya telah tidak dapat menarik minat mereka dan membuatkan mereka hilang keseronokan belajar. Mungkin juga isi pelajaran saya agak terlalu banyak kerana melibatkan proses perlakuan solat dan bacaannya secara serentak. 3 orang murid yang dipilih untuk menyatakan rukun solat masih tergagap-gagap apabila diminta berbuat demikian. Adakah mereka lupa atau tidak menguasai pelajaran yang diajarkan?
Soalan 5: Apakah tindakan spontan yang anda lakukan apabila isu / masalah itu berlaku?
Saya bantu mereka untuk menyebutnya satu persatu. Mereka ikut apa yang saya sebut.
Saya bantu mereka untuk menyebutnya satu persatu. Mereka ikut apa yang saya sebut dari awal hingga akhir.
Soalan 6: Apakah kesan tindakan spontan ke atas murid berkenaan (dan murid lain)? Adakah tindakan spontan anda itu menyebabkan pembelajaran murid menjadi lebih baik?  
Mereka dapat menyebut 13 rukun solat tetapi untuk bacaannya, masih tidak lancar. Ini lebih baik daripada tidak dapat menjawab langsung. Masa menjawab lembaran kerja, ramai murid telah tidak dapat menjawab dengan betul.
Memang ketiga-tiga murid dapat menyatakan 13 rukun solat tetapi dengan mengikut apa yang saya katakan. Pada saya, kalau begini bermakna murid masih belum menguasai pelajaran dan apa yang saya lakukan itu bukan bimbingan tetapi tolong menjawab utuk mereka. Mungkin juga mereka lupa atau keliru untuk menyebut mengikut turutan langkah dalam proses solat kerana bilangannya yang agak banyak. Walau apapun, saya dapat merasakan kegagalan membuatkan murid menguasai pelajaran secara masteri dan bermakna. Hasil yang ditunjukkan melalui jawapan dalam lembaran kerja menunjukkan objektif yang saya rancang memang tidak tercapai. Lembaran kerja yang diberi seharusnya tidak dilakukan untuk mengukur kejayaan murid dalam bentuk ujian sumatif. Sesi soal jawab yang dilakukan semasa membuat penerangan hanya dibuat untuk mengukuhkan kefahaman dan bukan dalam bentuk penilaian formatif.
Soalan 7: Pada pendapat anda, apakah kemungkinan kelemahan anda semasa mengaplikasikan kaedah dan teknik yang dipilih?

Agak banyak juga kelemahan dalam pengajaran saya. Saya telah memilih pendekatan secara langsung yang berorientasikan guru. Pendekatan ini ini tidak melibatkan murid dalam proses pembelajaran secara aktif. Sebab itu terdapat murid yang tidak memberikan perhatian kepada pelajaran. Arahan saya agar murid-murid ini memberikan tumpuan kepada pelajaran juga agak longgar kerana saya tidak tahu mengapa mereka tidak memberikan tumpuan. Kaedah penerangan yang saya gunakan memang bersifat sehala dan mungkin ini yang menyebabkan tumpuan murid beralih kepada berbual sesama sendiri. Saya kurang memberikan perhatian kepada semua murid. Gabungan kaedah soal jawab tidak digunakan dengan baik. Mungkin disebabkan saya tidak menyediakan soalan terlebih dahulu semasa merancang pengajaran. Saya telah tidak mengambil kira jenis soalan yang dapat membantu pembelajaran murid. Tidak ada teknik yang jelas yang saya gunakan yang dapat membantu penguasaan murid tentang pelajaran. Selain itu, kesilapan yang saya lakukan ialah menurunkan dan menyimpan carta bahan bantu belajar. Bahan itu seharusnya saya gunakan terus untuk mengukuhkan pembelajaran murid.
Soalan 8: Bagaimana anda tahu itu merupakan kelemahan anda?
Saya tanya pada guru pembimbing.
Saya telah bertanya kepada murid, cara apakah yang mereka mahu saya gunakan apabila mengajar mereka. Jawapan yang diberikan agak memeranjatkan saya kerana ada di antara mereka yang mengatakan bahawa saya hanya mengajar murid cerdik. Saya dikatakan ‘pilih kasih’. Ada juga yang mengatakan penerangan saya memang membosakan kerana mereka hanya mendengar secara pasif. Ada seorang murid yang menyatakan bahawa dia tahu semua 13 rukun solat kerana sentiasa mengamalkan solat di rumah tetapi saya telah tidak pun mendapatkan pandangannya. Menurutnya lagi, bapanya mengajar 13 rukun menggunakan mnemonik Nek, Bedah Tak Faham Ramai Ibu-ibu Suka Duduk-Duduk Tanpa Sedar Sudah Tengahari. Mengapa saya tidak berfikir tentang teknik-teknik yang boleh digunakan untuk membantu murid menguasai pelajaran lebih awal sedangkan telah banyak teknik yang telah saya pelajari di IPG dan boleh diakses di Internet? Bila saya tanya kepada guru pembimbing, beliau Cuma berkata, seorang guru perlu rajin meneroka ilmu dan bertindak secara kreatif dan inovatif. Malah, menurut beliau lagi, selama ini beliau mengajar menggunakan mnemonik [Nak Tengok Bola Futsal],[Rabu Isnin Selasa],[Dan Sabtu , Dan Ahad],[Bawa Sama Semua Teman].

Saya juga telah dikritik oleh murid kerana terlalu cepat menurunkan dan menyimpan bahan bantu belajar pada hal mereka belum sempat menggunakan bahan tersebut untuk mengingat 13 rukun solat. Bagi mereka, apa yang saya lakukan adalah tidak adil kerana telah memberikan ujian sebelum sempat mereka mengulangkaji atau mentelaah pelajaran. Lagi pun, adalah sukar untuk mereka mengingat 13 rukun solat beserta bacaannya dalam tempoh yang singkat.
Soalan 9: Apakah perasaan anda apabila mengetahui kelemahan sendiri?
Saya merasa kecewa dan bertanggungjawab untuk memastikan murid dapat menguasai 13 rukun solat bersama bacaannya.
Saya merasa kesal dengan sikap saya sendiri yang kurang fokus semasa merancang pengajaran. Saya telah tidak mengambil serius tentang model pengajaran serta saranan tujuan langkah-langkah pengajaran. Pada hal saya pernah terbaca mengenai ASSURE dan ADDIE. Saya juga pernah terbaca mengenai 9 langkah pengajaran Gagne, Model 5E, Model Hunter, Dunn dan Dunn, Taba, inkuiri saintifik  dan sebagainya. Saya tak ambil kisah pun tentang model-model tersebut kecuali apabila hendak menghadapi peperiksaan di IPG / universiti. Banyak contoh yang saya lihat hanya mencatatkan Langkah 1, Langkah 2, Langkah 3 dan seterusnya tanpa menjelasakan aktiviti langkah berdasarkan model yang diperakui.
Soalan 10: Pada pendapat anda, bagaimana perlu dilakukan agar kaedah dan teknik yang digunakan menjadi lebih baik.
Saya akan gunakan kaedah lain yang lebih menyeronokkan. Saya ingin gunakan teknik mnemonik.
Walaupun, terdapat beberapa kaedah pembelajaran aktif yang sesuai untuk pengajaran tajuk rukun solat, saya masih berminat untuk menggunakan kaedah penerangan secara interaktif dengan teknik mnemonik. Jawapan seorang murid tentang teknik yang digunakan oleh ayahnya, amat menarik perhatian saya. Namun begitu, saya akan cuba untuk menggunakannya dalam kaedah penerangan interaktif. Saya terfikir, tidak mungkin kaedah penerangan tidak berguna langsung sedangkan kaedah tersebut masih di ajar di IPG. Saya ingin tahu bagaimanakah teknik mnemonik dapat membantu kaedah penerangan secara interaktif.
Soalan 11: Mengapa anda kata begitu? Apakah nilai kepercayaan terhadap pengajaran dan pembelajaran yang anda pegang? Kemukakan sokongan literatur.
Teknik mnemonik boleh membantu murid mengingat 13 rukun solat. Saya bertanggungjawab untuk memastikan murid dapat mengingat 13 rukun solat.
Saya lupa tentang pendekatan dan strategi pembelajaran aktif Konstruktivisme saranan John Dewey (1859–1952), Jean Piaget (1896–1980) Lev Vygotsky (1896–1934) Jerome Bruner (1915–) Ernst von Glasersfeld (1917–2010) serta pembelajaran kumpulan kecil berstruktur (Johnson dan Johnson. 1999, Robert Slavin.,1980, Kagan, 1990) yang dikatakan lebih berkesan daripada kaedah langsung menggunakan penerangan guru yang bersifat sehala. Sekiranya berdasarkan kepada pendekatan konstruktivisme sosial (Lev Vygotsky, 1896–1934), saya hanya perlu menyediakan perancah (Sawyer, 2006) yang akan mendorong dan menggalakkan murid terus membina ilmu pengetahuan. Saya juga menghadapi isu percanggahan amalan kehidupan atau living contradiction (Jack Whitehead, 1988) apabila nilai pendidikan yang saya pegang tidak dapat direalisasikan. Pada hal saya sangat percaya bahawa pembelajaran aktif (Dewey, 1915) dapat membantu murid menguasai pelajaran dan pembelajaran. Pembelajaran aktif boleh dilaksanakan menggunakan kaedah pembelajaran kumpulan kecil dan koperatif. Walau pun nilai ini merupakan nilai yang baik, namun kegagalannya untuk direalisasikan dalam bilik darjah menyebabkan murid dan saya sendiri gagal mencapai objektif pembelajaran yang dirancang.