Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Wednesday 11 December 2013

Kajian Tindakan (kemas kini): Panduan Menganalisis Data Berbentuk Teks Atau Transkrip (kualitatif)



Kebanyakan pelajar, yang sempat saya temui,  telah menggunakan instrumen seperti temubual, pemerhatian, rekod anekdot, nota lapangan dan jurnal reflektif untuk mendapatkan maklumat / data dalam kajian tindakan yang dilakukan dengan tujuan untuk mendapatkan pandangan murid (responden) tentang aplikasi kaedah serta teknik pengajaran mereka (apakah bentuk inovasi pdp yang boleh dan sesuai atau terbaik untuk dilaksanakan dan bagaimana melaksanakannya). Sekiranya pemerhatian berstruktur sepenuhnya (tersedia jawapan atau pengkaji hanya mahu melihat kekerapan sesuatu tingkahlaku) dilakukan, maka analisis menggunakan statistik numerikal adalah relevan. Tetapi sekiranya data direkodkan dalam bentuk teks atau transkrip, maka analisis  menggunakan statistik numerikal menjadi tidak tepat.

Sebagai panduan ringkas, diperjelaskan di sini, prosedur melakukan analisis data kualitatif (seperti data dalam bentuk teks).

Pendekatan deduktif: melibatkan penggunaan struktur atau kerangka yang telah ditentukan lebih awal untuk menganalisis data. Contohnya pengkaji ingin meneroka pandangan atau perasaan murid (responden) tentang alasan tidak dapat mengikuti pelajaran atau tidak aktif dalam pembelajaran, maka temubual dilakukan untuk meneroka alasan atau sebab-sebabnya. Pengkaji boleh mengesan kategori (jenis / tema) alasan tersebut (kualitatif) dan kekerapan setiap alasan yang diberikan (kuantitatif). Pengkaji boleh saja memilih hanya jenis atau kategori alasan sahaja tanpa mengambil kira kekerapan setiap alasan (khususnya apabila bilangan responden adalah terlalu kecil iaitu antara 2 hingga 6 orang).

Pendekatan induktif: proses menganalisis data tidak melibatkan struktur / kerangka / teori yang ditetapkan lebih awal. Pendekatan ini lebih komprehensif dan paling kerap digunakan untuk menganalisis data kualitatif. Terdapat banyak kaedah untuk mengaplikasi pendekatan induktif dan yang paling lazim ialah dengan menggunakan kaedah analisis kandungan berdasarkan tema (thematic content analysis)

Transkrip temubual, nota lapangan dan pemerhatian menyediakan data diskrptif tetapi bukan penjelasan atau interpretasi. Pengkaji sendiri yang akan meneroka dan membuat interpretasi data.

Peringkat 1: Kenal pasti tema atau kategori (idea, konsep, terminologi, kata kunci) yang boleh diperolehi daripada teks / transkrip. Proses mengenalpasti ini dikenai sebagai pengekodan terbuka (open coding). Tujuan mengenalpasti tema atau kategori ini adalah untuk memilih perkataan atau frasa yang relevan dan diperlukan. Langkah seterusnya ialah mengumpulkan perkataan dan frasa dalam tema atau kategori tadi di atas kertas kosong (data display) dalam bentuk jadual atau peta minda dan mula memotong maklumat berulang. Proses ini dikenali sebagai proses pengurangan data (data reduction).

Peringkat 2: Kategori yang terhasil akan disemak semula untuk memastikan tidak terdapat kategori yang sama (tetapi menggunakan perkataan yang lain seperti “seronok” dan “gembira”). Seronok dan gembira boleh dimasukkan dalam satu kategori “perasaan” dengan sub kategori “positif” dan “negatif” (untuk  perasaan “bosan”, “tidak seronok” dan sebagainya). Proses mengaitkan antara  kategori dan sub-kategori  ini dinamakan axial coding.

Peringkat 3: Data yang terpapar (displayed data) seterusnya dibuat interpretasi berdasarkan kepada  ilmu pengetahuan (asas teori) dan pengalaman. Sebaiknya, pengkaji melibatkan pihak ketiga (third party) seperti rakan sejawat (untuk peer review) atau “rakan kritikal” untuk mengesahkannya (memastikan rigour dan trustworthy yang lebih tinggi).  

Peringkat 4: Mula menulis (menghurai atau merumus) dapatan kajian untuk menjawab soalan kajian. Sebaiknya dikaitkan dengan dapatan kajian awal (jika ada).

Peringkat 3 dan 4 dinamakan proses menghasilkan rumusan dan pengesahan (conclusion drawing and verification

Jenis-jenis fenomena yang boleh dikodkan (adaptasi daripada Bogdan dan Biklen, 1992; Strauss, 1987; Mason, 1996; dan Gibbs, 2006)


NO.
APA YANG BOLEH DIKODKAN
1
Tingkahlaku, aksi spesifik
2
Peristiwa –yang dilakukan dan menjadi perbualan.
3
Activiti – melibatkan manusia dalam seting tertentu
4
Strategi, amalan atau taktik
5
 Keadaan umum yang dialami oleh murid
6
Makna.
a. Norma, nilai dan peraturan yang,menjadi panduan bertingkahlaku
b. Makna serta signifikan keadaan yang dihadapi ke atas peserta
c. Apakah symbol yang digunakan untuk memahami keadaan? Apakah panggilan atau gelaran yang diberikan kepada objek, peristiwa, peranan, seting dan peralatan?
7
Penyertaan – adaptasi kepada situasi baru
8
Perhubungan dan interaksi
9
Syarat atau kekangan
10
Akibat
11
Seting – konteks keseluruhan yang dikaji
12
Refleksif – peranan pengkaji dalam proses, bagaimana data diperoleh


  

Teknik mengenalpasti tema
1.       Pengulangan perkataan
2.       Kata kunci (berdasarkan konteks)
3.       Banding beza
4.       Cari maklumat yang tertinggal
5.       Metafora dan analogi



Latihan mengekod: Data temubual kumpulan berfokus murid tahun 3 (kumpulan berfokus digunakan untuk mengelakkan responden yang masih kanak-kanak daripada rasa tertekan apabila temubual secara individu dilakukan)

Soalan-soalan yang dikemukakan semasa temubual (sila gunakan laras bahasa yang mudah difahami oleh murid bergantung kepada tahap kebolehan mereka)

Soalan 1: Boleh beritahu ustaz tak, apa yang menarik atau tidak menarik  tentang pengajaran ustaz tadi? Cuba bandingkan dengan cara sebelum ini? Mengapa? (Soalan minta perbandingan dan mengapa merupakan soalan lanjutan untuk mendapatkan maklumat lebih mendalam sekiranya murid menjawab secara ringkas untuk soalan pertama)

Soalan 2: Boleh tak beritahu ustaz  cara yang kamu rasa senang untuk faham pelajaran? (soalan ini dikemukakan untuk mendapatkan pandangan murid serta alternatif kaedah dan teknik yang mereka mahukan – dalam bentuk need assessment).

Langkah 1: Tetapkan (Senaraikan) perkataan atau frasa pendek yang akan dijadikan kod (berkaitan maklumat yang dikehendaki  sebagai eviden, sama ada untuk tujuan tinjauan awal atau untuk dijadikan bukti dapatan) seperti contoh di bawah (open coding- tiada hirarki keutamaan):  

Teknik pengajaran
Kesan pengajaran
Rujukan
Perasaan
Motivasi

Nota: Guru sedang mengkaji bagaimana caranya melaksanakan penerangan yang diintegrasikan dengan penggunaan kata kunci dan peta minda secara live (dalam keadaan sebenar dan bukan teoretikal).

Langkah 2: Dapatkan jawapan murid dan catatkan seperti mana mereka jawab. Susun semula jawapan mereka dalam bentuk jadual seperti di bawah (sekiranya guru tidak menyediakan / menggunakan borang jadual, maknanya sekiranya guru mencatat dalam bentuk nota lapangan)

     Soalan 1
      Boleh beritahu ustaz tak, apa yang menarik atau tidak menarik  tentang pengajaran ustaz tadi? Cuba bandingkan dengan cara sebelum ini? Mengapa kamu kata begitu?
     Responden A (RA)
      Bila ustaz tulis kata kunci kat papan tulis, senang nak tengok semula. ...... Peta minda pulak.... saya suka sebab ... mmm... senang nak faham ...
     Responden B (RB)
      Ha ah (menyetujui kenyataan RA)... ustaz guna pen warna, jadi senang  nak tengok. Sebelum ni ustaz macam ceramah kat surau aje.
     Responden C (RC)
      Kalau ustaz cakap aje, bosanlah. Boleh mengantuk.
     Responden D (RD)
      Apa tu ustaz? Peta.... (guru memberi bantuan)... hah peta minda. Macam dalam iklan susu anmum beruang kutub tak makan penguin kat tv.
     Responden A (RA)
      Sebelum ni kan ustaz, saya mesti main sebab (tersipu-sipu).... saya tak faham apa yang ustaz cakap.
     Responden D (RD)
      Lagipun kan sekarang ustaz ajar, saya tak bosan. Saya suka tengok peta minda dengan kata kunci.
     Responden B (RB)
      Senang ingat, ustaz!

     Soalan 2
      Boleh tak beritahu ustaz  cara yang kamu rasa senang untuk faham pelajaran?
     Responden A (RA)
      Macam ustaz ajar tadilah! Ada kata kunci. Ada peta minda.
     Responden B (RB)
      Betul tu ustaz.
     Responden C (RC)
      Kalau ustaz ajar ada nyanyi macam Cikgu X (nama sebenar tidak digunakan), mesti seronok.
     Responden B (RB)
      Engkau ni apa lah..... (menegur RC)
     Responden C (RC)
      Tak pe lah... ustaz yang tanya tadi.
     Responden D (RD)
      Ustaz ajar tak macam dulu. Dulu saya tak suka. Sekarang saya seronok sangat. Boleh faham. Boleh ingat.

  (Saya hanya mengemukakan dua contoh soalan sahaja. Selanjutnya boleh buat sendiri)

Langkah 3: Tandakan perkataan, frasa atau ayat yang menggambarkan maklumat atau data yang dikehendaki. Gunakan warna (highlighter) yang berlainan dan mulakan dengan proses mengekod menggunakan kod-kod yang telah disediakan lebih awal (lihat langkah 1) pada ruang kanan jawapan (sekiranya lajur berkenaan telah disediakan) atau tandakan di tepi transkrip ( untuk tujuan data reduction). Pada masa ini ada kemungkinan kod atau tema baru perlu diwujudkan apabila terdapat maklumat lain yang relevan.

      Maklumat / data  
      Kod / tema
     Soalan 1
      Boleh beritahu ustaz tak, apa yang menarik atau tidak menarik  tentang pengajaran ustaz tadi? Mengapa kamu kata begitu?

     Responden A (RA)
      Bila ustaz tulis kata kunci kat papan tulis, senang nak tengok semula. ...... Peta minda pulak.... saya suka sebab ... mmm... senang nak faham ...
      Kaedah /Teknik pengajaran
      Bahan bantu
      Perasaan
      Kesan pengajaran
     Responden B (RB)          
      Ha ah (menyetujui kenyataan RA)... ustaz guna pen warna, jadi senang  nak tengok. Sebelum ni ustaz macam ceramah kat surau aje.
      Kaedah /Teknik pengajaran
      Kesan pengajaran
     Responden C (RC)
      Kalau ustaz cakap aje, bosanlah. Boleh mengantuk.
      Demotivasi
     Responden D (RD)
      Apa tu ustaz? Peta.... (guru memberi bantuan)... hah  peta minda. Macam dalam iklan susu anmum beruang kutub tak makan penguin kat tv.
      Kaedeah / Teknik pengajaran
      Pengetahuan sedia ada

     Responden A (RA)
      Sebelum ni kan ustaz, saya mesti main sebab (tersipu-sipu).... saya tak faham apa yang ustaz cakap.
      Demotivasi
      Perasaan
     Responden D (RD)
      Lagipun kan sekarang ustaz ajar, saya tak bosan. Saya suka tengok peta minda dengan kata kunci.
      Perasaan
      Kaedah / Teknik pengajaran
     Responden B (RB)
      Senang ingat, ustaz! (nada bersemangat)
      Motivasi
      Kesan pengajaran






     Soalan 2
      Boleh tak beritahu ustaz  cara yang kamu rasa senang untuk faham pelajaran?
     Kod / tema
     Responden A (RA)
      Macam ustaz ajar tadilah! (kenyataan ini merujuk kepada kaedah dan teknik pengajaran) Ada kata kunci. Ada peta minda.
     Kaedah /Teknik pengajaran

     Responden B (RB)
      Betul tu ustaz (kenyataan ini menyokong RA).
      Rujukan
     Responden C (RC)
      Kalau ustaz ajar ada nyanyi macam Cikgu X (nama sebenar tidak digunakan), mesti seronok (bersemangat)
      Kaedah /Teknik pengajaran
      Motivasi
     Responden B (RB)
      Engkau ni apa lah..... (menegur RC)

     Responden C (RC)
      Tak pe lah... ustaz yang tanya tadi.

     Responden D (RD)
      Ustaz ajar tak macam dulu. Dulu saya tak suka. Sekarang saya seroooonok sangat! (penekanan pada perkataan seronok). Boleh faham. Boleh ingat.
      Bermotivasi
      Kesan pengajaran



Nota: Cuba perhatikan, terdapat satu tema baru (pengetahuan sedia ada) dan satu kategori motivasi negatif (demotivasi).

Sekiranya panduan yang diberikan oleh Bogdan dan Biklen (1992); Strauss, (1987); Mason, (1996); dan Gibbs, (2006) seperti saranan di atas tidak digunakan, maka pengekodan dalam bentuk lain akan dapat dihasilkan. Contohnya,





      Dalam contoh di atas, saya tidak menggunakan kod warna tetapi menandakan frasa tertentu dengan warna merah untuk proses data reduction. Untuk makluman, pengkaji boleh sahaja mengemukakan kod sendiri asalkan boleh dibuat tafsirannya (interpretasi) kemudian.


Langkah 4: Susun data agar mudah untuk dilihat (data display) menggunakan peta. Tandakan maklumat atau data yang sama atau boleh dimasukkan ke dalam satu kategori. 

Paparan data untuk soalan 1.

NOTA: Kaedah lain untuk memaparkan data kualitatif, sila lihat di sini


Langkah 5: Susunkan maklumat mengikut kategori berdasarkan hirarki keutamaan (sila libatkan rakan kolaborasi / rakan penyelidik / rakan kritikal untuk memastikan pengkategorian yang dilakukan adalah boleh dipercayai atau mempunyai trustworthiness yang tinggi). [axial coding]

Contohnya, tema suka, seronok, demotivasi dan bermotivasi boleh disatukan di bawah kategori motivasi.  
Kategori pengajaran dan pembelajaran pula boleh merangkumkan tema perasaan (warna biru), kaedah dan teknik pengajaran (warna hijau) dan kesan (ungu). Kategori kesan pembelajaran boleh dikekalkan atau dimasukkan juga di bawah kategori pengajaran dan pembelajaran (bergantung kepada bagaimana penyelidik ingin membuat analisis).

Seterusnya kenal pasti corak dan perkaitan antara kategori. Contohnya perasaan suka dan seronok boleh dikaitkan dengan pembelajaran (boleh ingat, boleh faham dan senang tengok).

Langkah 6: Lakukan analisis melalui interpretasi data dengan bantuan mereka yang pakar atau berkebolehan melakukan interpretasi dengan baik.

Semasa melakukan analisis data kualitatif, saya tidak mengambil kira kekerapan munculnya data seperti kata kunci, peta minda dan lain-lain. Sekiranya saya berhajat untuk melakukan analisis mixed method (kaedah gabungan), maka saya akan menghitung kekerapan munculnya frasa peta minda, kata kunci, saya suka dan sebagainya dan melakukan analisis statistikal. (Dalam contoh di sini, saya tidak akan melakukannya kerana saya hanya memilih analisis kualitatif).

Contohnya,
Dapatan temubual kumpulan berfokus menunjukkan murid dapat menerima aplikasi kaedah penerangan yang diintegrasikan dengan teknik penggunaan kata kunci dan peta minda dalam pengajaran. Kaedah penerangan tidak dilakukan sepanjang 60 minit waktu yang diperuntukkan tetapi diselang-selikan dengan penggunaan teknik kata kunci yang dituliskan di papan tulis, penerangan semula dan menggunakan peta minda (untuk menjelaskan keseluruhan konsep isi pelajaran). Penggunaan kata kunci menjadikan pembelajaran lebih bermakna kepada murid. Dalam proses menggunakan kata kunci, kesemua kata kunci yang dicatatkan di papan tulis tidak dipadam sehingga habis kelas dengan tujuan untuk membolehkan murid membuat rujukan. Dapatan ini boleh diinterpretasikan sebagai satu penambahbaikan pengajaran melalui pengintegrasian kata kunci dan peta minda ke dalam kaedah penerangan. Dapat dikatakan bahawa sebahagian nilai pendidikan yang menjadi pegangan saya telah dapat direalisasikan apabila saya mengambil kira pengaruh dan kesan penggunaan papan tulis yang boleh dijadikan rujukan.

Dapatan juga menunjukkan murid merasa lebih seronok dan mudah mengingat fakta yang diajarkan. Mereka lebih bermotivasi untuk belajar. Contohnya, RB, RC dan RD menyatakan rasa seronok dengan penuh semangat. ......... Saya memang percaya dengan yakin bahawa keseronokan belajar memang akan mempengaruhi proses pembelajaran..... 

Namun begitu, RD didapati telah mengaitkan peta minda dengan iklan susu yang menggambarkan bahawa responden memang mampu dan boleh belajar sekiranya ia dapat mengaitkan dengan pengetahuan sedia ada...... 

Langkah 7: Buat laporan dan rumusan dapatan. Dalam laporan dan rumusan analisis yang dibuat, sebaiknya dikaitkan dengan kajian lalu yang berkaitan. Contohnya,

Dapatan ini selaras dengan dapatan kajian yang dilakukan oleh Shapiro dan Waters (2005), Sagarra dan Alba (2006) serta Atay dan Ozbulgan (2007) yang mendapati bahawa penggunaan kata kunci dapat menghasilkan kesan pembelajaran yang signifikan. Atkinson (1975) pula pernah menegaskan bahawa antara banyak strategi pembelajaran kosa kata, kaedah kata kunci merupakan kaedah yang paling berkesan untuk menambahbaik ingatan.

      ......apabila saya mengatakan bahawa hanya sebahagian nilai pendidikan yang dipegang dapat direalisasikan, ini bermakna sebahagian yang lain masih belum .......


Lihat juga
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/07/sedikit-mengenai-penyelidikan-tindakan.html
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2011/10/tidak-jelas-tentang-kajian-tindakan.html  
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/02/betulkah-apa-yang-dilakukan-ini-adalah.html  
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/04/kesalahan-lazim-semasa-melakukan-kajian.html

4 comments:

  1. Untuk paparan data, sila rujuk http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.my/2017/05/paparan-data-kualitatif-kajian-tindakan.html

    ReplyDelete
  2. Tq for the info. Its help me a lots..

    ReplyDelete