Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Monday 3 March 2014

Panduan Menulis Kertas Cadangan Kajian Tindakan IPGM

Pastikan terlebih dahulu dibaca http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2014/02/soalan-yang-pernah-ditimbulkan-tentang.html agar anda benar-benar faham tentang kajian tindakan praktikal


Kertas cadangan (proposal) kajian tindakan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) lebih difokuskan kepada isu-isu berkaitan pedagogi pengajaran dan pembelajaran. Untuk itu, kertas cadangan yang perlu dikemukakan oleh pelajar IPGM hendaklah berkaitan isu aplikasi pedagogi pendidikan iaitu isu yang dapat dikaitkan dengan pengajaran dan pembelajaran berkesan (effective teaching). Ini bermakna pelajar perlu terlebih dahulu memahami konsep-konsep asas dalam disiplin pedagogi seperti pendekatan, strategi,  kaedah, serta teknik pengajaran dan pembelajaran. Elemen-elemen utama yang akan mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran perlu diambil kira seperti gaya pembelajaran, pelbagai kecerdasan, taksonomi kognitif Bloom (juga Anderson dan Krathwohl) dan sebagainya. Ini tidak bermakna kajian tindakan menafikan aspek pengurusan dan kepemimpinan pendidikan, cuma IPGM menekankan aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran sebelum pelajar mula menjalankan tugas setelah tamat latihan di IPGM. Maknanya, seorang guru seharusnya menguasai ilmu pedagogi.

Untuk tujuan menyediakan kertas cadangan, beberapa perkara perlu dikemukakan seperti berikut:

    1.    Tajuk Kajian
Pastikan tajuk kajian berorientasikan tindakan untuk tujuan penambahbaikan amalan bekerja (ilmu dan kemahiran guru ketika melaksanakan pengajaran). Elakkan daripada mengemukakan tajuk yang bersifat sebab dan akibat atau korelasi. 

Sila baca http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2014_02_01_archive.html terlebih dahulu 

    2.    Nama Penyelidik dan Sekolah

    3.    Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Lalu
.......termasuk refleksi kepercayaan dan nilai pendidikan yang menjadi pegangan penyelidik yang ingin direalisasikan. Sebaiknya kemukakan refleksi bersifat kritikal dengan sokongan literatur (sebagai sumber asas pegangan teori dan nilai) dan bukan sekadar diskripsi dalam bentuk penulisan diari.  

Sila lihat di 
http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2014/09/kajian-tindakanrefleksi-pengajaran-dan.html

    4.    Isu Keprihatinan / Fokus Kajian
Isu keperihatinan / pernyataan dan analisis masalah dinyatakan dengan jelas termasuk implikasinya ke atas pengajaran, pembelajaran atau pengurusan berdasarkan maklumat dan data awal yang diperolehi. Pernyataan fokus kajian ini sebaiknya dikaitkan dengan latar belakang teori dan / atau penyelidikan lampau melalui pembacaan. Di bawah subtopik Isu keperihatinan ini sebaiknya meliputi skop kajian, kerelevanan, kebolehan diurus, keserasian, kepentingan, kawalan dan kolaborasi (dan dinyatakan dengan jelas).



Skop kajian

·         Isu / fenomena / masalah itu wujud serta mengganggu prestasi pengajaran dan pembelajaran tetapi dijangka boleh dibuat penambahbaikan

·         Kepercayaan dan nilai pendidikan yang dipegang dapat membantu penambahbaikan yang dirancang


Kerelevanan

·         Kepentingan isu / fenomena / masalah perlu diselesaikan kerana dikhuatiri meninggalkan kesan negatif ke atas proses pdp, profesionalisme guru, murid atau institusi


Kebolehan diurus

·         Kebolehan menangani isu / fenomena / masalah melalui tindakan yang dirancang

·         Pengurusan kemungkinan keperluan dan kekangan


Keserasian

·         Boleh dilaksanakan dalam kerja-kerja mengajar dan tidak merupakan amalan yang asing daripada bidang pendidikan


Kepentingan

·         Kepentingan kajian kepada guru, murid, rakan sekerja atau sekolah


Kawalan

·         Peserta kajian dapat dikawal tanpa mengganggu rutin pembelajaran murid lain


Kolaborasi

·         Sokongan daripada rakan sekerja, pengurus sekolah, rakan kritikal dan individu lain yang dapat membantu proses interpretasi data 

    5.    Objektif Kajian
Pastikan objektif yang ditulis meliputi fokus kajian, tindakan yang ingin dilaksanakan dan jangkaan pencapaian (lihat soalan kajian – objektif kajian akan menggambarkan jawapan yang diinginkan daripada soalan kajian).
     
      Objektif Umum
      Objektif Khusus

    6.    Soalan kajian
Kemukakan soalan-soalan yang ingin diperolehi jawapannya melalui kajian ini. Disebabkan kajian tindakan dilakukan dengan tujuan penambahbaikan amalan penyelidik sendiri, maka dua kata soal (adakah dan bagaimanakah) menjadi fokus pembinaan soalan kajian.
Contoh:
Adakah dengan mengaplikasikan teknik penyoalan dalam kaedah penerangan membolehkan murid saya .......?
Bagaimanakah mengaplikasikan teknik penyoalan sokratik semasa menggunakan kaedah penerangan untuk membolehkan murid saya ......?     

    7.    Kumpulan Sasaran
...... selain maklumat asas seperti bilangan dan jantina peserta, masukkan juga ciri-ciri unik peserta yang menyebabkan mereka terpilih sebagai peserta kajian.

    8.    Prosedur Kajian
Kemukakan bentuk intervensi (tindakan / inovasi) yang ingin dilaksanakan, jelaskan instrumen pengumpulan data yang akan digunakan (sebaiknya libatkan konsep triangulasi untuk tujuan meningkatkan rigour dan trustworthiness) serta bagaimana data akan dianalisis (proses koding dan pengkategorian data serta interpretasi / mendapatkan makna untuk data kualitatif).

Sekiranya melibatkan data kuantitatif (lazimnya tidak digunakan dalam kajian tindakan praktikal) maka statistik numerikal digunakan dan pastikan kesahan dan kebolehpercayaan instrumen dan data.
     
    9.    Jadual Pelaksanaan Kajian
Kemukakan jadual tindakan serta tarikh tentatif aktiviti berkenaan

    10.  Perbelanjaan
Jangkaan perbelanjaan dikemukakan dalam kertas cadangan adalah untuk tujuan mendapatkan bantuan (kewangan atau bahan).

    11.  Senarai rujukan
Nyatakan tidak kurang daripada 10 sumber (buku, jurnal, sumber digital daripada Intenet, majalah dan sebagainya). Patuhi format APA atau MLA.

    12.  Apendiks
Kemukakan contoh alat / instrumen mengumpulkan data dan pastikan mematuhi protokol


Nota: Terdapat pandangan yang meminta dikemukakan tinjauan literatur sebagai satu sub topik tersendiri namun bagi kebanyakan penyelidik lebih cenderung untuk memasukkan tinjauan literatur dalam bentuk embeded dalam refleksi pengajaran dan pembelajaran lalu, fokus kajian dan prosedur kajian. Tidak salah tetapi ciri ini juga yang membezakan kajian tindakan daripada kajian / penyelidikan pendidikan yang lain (keperpustakaan, praeksperimental, eksperimental, kuasi ekperimental, tinjauan, korelasi, sebab-akibat).

Baca juga http://shamsina-gurupendidikanislam.blogspot.com/2013/04/kesalahan-lazim-semasa-melakukan-kajian.html 

2 comments: