Followers

RENUNGAN

"Kalau guru sendiri mengambil masa untuk memahami pelajaran baru, janganlah mengharapkan murid sederhana dan lemah dapat menguasai dan mengingati perkara yang baru dipelajari dalam tempoh 20 minit."

Saturday 10 December 2016

Menjadi Guru Yang Lebih Baik



Salah satu perkara yang menyebabkan sekolah menjadi tempat yang membosankan bagi pelajar, menurut pelajar-pelajar ini ialah, kebanyakan perkara yang dipelajari di sekolah hanya merupakan perkara yang tidak dapat diterima secara lebih bermakna untuk mana-mana konteks dalam kehidupan mereka. Apakah maknanya mempelajari pelbagai topik Matematik dan Sains sekiranya kecenderungan pelajar adalah untuk menjadi penyanyi, pelakon atau ahli sukan apabila tamat tempoh wajib belajar hingga tingkatan lima? Malah terdapat pelajar yang meninggalkan bangku sekolah dan menceburi dunia hiburan dan sukan ketika berumur 15 tahun.  Apakah maknanya mempelajari tatabahasa serta nahu apabila komunikasi boleh sahaja berlaku dan difahami dengan menggunakan bahasa pasar? Apakah maknanya mempelajari Sejarah kalau kecenderungan serta motivasi pelajar adalah untuk menjadi pekerja teknikal yang mahir?

Tekanan yang dihadapi oleh para guru untuk menghabiskan sukatan kurikulum standard serta menyediakan ujian-ujian setara menyebabkan pengajaran lebih didorong untuk menghabiskan konten dan bukannya berasaskan kepada keperluan pelajar atau apa yang pelajar ingin tahu sebenarnya. Adalah sangat sukar bagi guru untuk mengimbangkan antara keperluan pelajar dan kurikulum yang perlu disampaikan dalam bentuk teks (buku teks dan sebagainya). Teks dihasilkan dalam bentuk logik, tersusun, dalam bentuk hitam putih. Manakala keperluan dan latar belakang pelajar adalah pelbagai dan kompleks. Situasi pembelajaran akan bertukar dengan adanya proses sosialisasi serta perubahan kurikulum yang agak bertentangan dengan kehendak dan keperluan pelajar. Kanak-kanak kecil peringkat tadika yang masih memerlukan bimbingan perkembangan pelbagai aspek kemanusiaan secara menyeluruh, dibebankan dengan perkembangan kognitif dalam kebanyakan waktu.

Sesetengah idea inovasi yang terbaik akan hilang lenyap lantaran tiada usaha untuk menginstitusikan amalan berkenaan. Banyak sekolah-sekolah lama yang masih kekurangan keperluan asas atau memiliki keperluan asas yang sudah uzur dan layak dihapus kira. Masih terdapat guru-guru yang tidak mendapat sokongan pentadbiran apabila melakukan sesuatu yang tidak bersifat tradisi, untuk menghadapi bilangan pelajar yang ramai serta sentiasa berkembang. Perkembangan profesional pula dianggap terlalu mahal untuk dilaksanakan serta tidak mendapat sokongan kewangan daripada pentadbir sekolah. Perkembangan profesional guru-guru di sekolah banyak bergantung kepada siapa rakan sejawatan mereka, sikap pentadbir, pengalaman serta lokasi sekolah.

Persoalannya, dengan adanya pelbagai kerenah ini, adakah guru masih berpeluang menjadi lebih baik? Tentulah jawapannya YA. Guru yang terdedah kepada pelbagai peluang perkembangan profesional, adalah guru yang berkemungkinan menjadi guru yang lebih baik. Mereka akan berpeluang untuk mempelajari tentang inovasi pendidikan serta memperoleh pelbagai alat yang boleh diintegrasikan dalam amalan pengajaran dan pembelajaran. Tanpa sokongan pihak pentadbir serta maklum balas yang memberangsangkan, guru akan melupakan semua rancanagn inovasi mereka.
Sebenarnya tidaklah begitu sukar untuk menjadi guru yang lebih baik. Guru-guru yang inovatif hanya perlu mengambil kira serta memikirkan bagaimana melaksanakan idea-idea inovatif mereka. 

Guru-guru yang telah didedahkan kepada mereka tentang pengajaran dan pembelajaran tumpuan atau berorientasikan pelajar tetapi tidak berpeluang untuk mengaitkannya dalam bentuk satu kepaduan yang menyeluruh, boleh mencuba saranan di bawah.

Cuba gunakan soalan-soalan penting yang dapat meningkatkan wacana dan pemikiran untuk membolehkan pelajar menyedari bahawa belajar dan kejayaan bukan satu destinasi tetapi merupakan satu perjalanan tanpa titik akhir. Maknanya, semakin banyak yang diketahui, semakin banyak pula yang perlu diketahui dan dipelajari. Apakah soalan yang dianggap penting? Bagaimana mengenalinya? Bagaimana pula mengaplikasikannya dalam bilik darjah? Soalan penting merupakan soalan yang memberi peluang kepada pelajar untuk mempersoalkan sesuatu isu, meneroka dengan lebih mendalam isu berkenaan serta membincang dan memperdebatnya. Kita biasa mendengar rungutan pelajar vseperti Susahnya soalan ini!”. Persoalannya, sejauh mana sesuatu yang susah itu benar-benar susah (sukar) sehingga tiada penyelesaiannya langsung? Soalan penting akan menyedarkan pelajar bahawa untuk mendapatkan jawapannya, mereka perlu melihatnya dari pelbagai perspektif serta interpretasi, mencari dan meneroka pelbagai alternatif. Soalan penting bukan bererti mesti melibatkan tahap pemikiran tinggi (KBAT) berdasarkan taksonomi kognitif tetapi cukup untuk membuatkan pelajar berfikir semula, membincangkannya dan mencari penyelesaian yang mungkin. Isu “Susahnya soalan ini!” boleh ditanyakan dengan soalan “Apanya yang susah?” Soalan begini membuatkan pelajar merenung dan mencari elemen yang menyebabkan soalan dilihat sebagai menyusahkan. "Bagaimana awak tahu ianya susah?" Soalan begini pula akan membuatkan pelajar mengenalpasti elemen "salah faham" atau "belum dikuasai" yang menyebabkan soalan dianggap susah. Elemen yang menyusahkan ini akan dikenalpasti dan dicari penyelesaiannya. Perlu diingat bahawa soalan-soalan penting tidak bertujuan untuk membezakan antara jawapan betul atau salah tetapi lebih kepada mendapatkan jawapan melalui proses berfikir secara mendalam serta mengambil kira pelbagai idea.

Sudah pasti terdapat panduan tertentu bagaimana menggunakan soalan-soalan penting. Saya tidak berhasrat untuk menyatakannya di sini.

Dalam kebanyakan bilik darjah, guru merasakan bahawa mereka mempunyai terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan (mengajar, membimbing, menyemak, mengurus, memudahcara, merefleks dan seterusnya) sedangkan masa yang diperuntukkan adalah sangat terbatas untuk membolehkannya menunaikan kesemua tugas tersebut. Terlalu banyak tuntutan yang perlu ditunaikan baik pada peringkat bilik darjah, peringkat sekolah, daerah, negeri mahu pun negara yang meninggalkan kesan ke atas pengurusan masa guru. Buku teks yang tebal, buku-buku kerja dan latihan, perubahan kurikulum, pengurusan kokurikulum, kerenah pelbagai pihak... semuanya menyumbang kepada tekanan ke atas guru. Dalam hal begini, bagaimana menjadi guru yang lebih baik? Integrasi perlu dilihat sebagai alat kesepaduan:- integrasi kurikulum, integrasi topik-topik dalam mata pelajaran, integrasi aktiviti pengajaran dan pembelajaran, integrasi dengan teknologi, integrasi strategi, integrasi nilai dan sebagainya. Integrasi membolehkan pelajar meneroka, mengumpul, memproses, memurnikan dan mempersembahkan maklumat tentangsesuatutopik yang ingin diselidiki tanpa batasan serta halangan mata pelajaran tradisional (Pigdon dan Wooley, 1992) untuk membolehkan pelajar terlibat dalam proses pembelajaran yang bertujuan, bermakna dan relevan. Program integrasi tidak hanya berfokus kepada bidang-bidang kurikulum secara berasingan tetapi berdasarkan kepada perkembangan kemahiran sekitar tema-tema tertentu. 

Mengapakah kurikulum dan reka bentuk pentaksiran serta penilaian yang standard diperlukan di sekolah? Jawapan mudahnya ialah kawalan kualiti lepasan sekolah. Ekspektasi guru adalah tidak sama untuk mata pelajaran yang sama. Terdapat faktor latar belakang guru, latar belakang kumpulan pelajar, lokasi sekolah serta polisi-polisi tertentu yang mempengaruhi ketaksamaan ini. Walaupun guru bebas memilih dan menggunakan pendekatan, strategi, kaedah serta teknik pengajaran yang difikirkan sesuai, adalah sukar untuk membuat justifikasi cara dan gaya mengajar yang berkesan lebih-lebih lagi apabila amalan mentaksir serta menilai adalah tidak sama bagi semua guru. Semua ini dapat diatasi sekiranya semua sekolah mengamalkan pelaksanaan kurikulum serta pentaksiran yang standard.

Pentaksiran dan penilaian dinilai autentik apabila ia melibatkan penyelesaian masalah, isu-isu serta tugas dalam dunia sebenar. Tugasan yang autentik membolehkan pelajar melalui proses pembelajaran bermakna serta dapat menghubungkan dan mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam bilik darjah dengan masalah dunia sebenar. Tugasan yang autentik mempunyai sebahagian besar atau kesemua ciri-ciri berikut:

a. melibatkan audien serta tujuan sebenar (luar bilik darjah)
b. melibatkan pengintegrasian isi kandungan dan pelbagai kemahiran 
c. kriteria skor /pemarkahan yang standard 
d. membolehkan pelajar menghuraikan konsep dalam pelbagai bentuk komunikasi (persembahan, tulisan, lakaran atau lisan) 
e. melibatkan pelbagai aras pemikiran
f. telus

Rubrik merupakan komponen kritikal sesebuah tugasan dan pentaksiran yang autentik (bukan untuk item objektif pelbagai pilihan). Kebanyakan guru melihat rubrik sebagai kriteria untuk menilai dan memberi markahatau skor. Rubrik juga sebenarnya boleh digunakan untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran. Rubrik bukannya senarai semak, helaian markah atau skala pemarkahan. Tujuan rubrik, sama ada holistik atau analitik, adalah untuk mengesan sama ada wujud atau tidak elemen-elemen yang diperlukan dalam sesuatu tugasan. Rubrik menjadi bermakna untuk pengajaran yang baik kerana ia dapat membantu guru menjelaskan elemen-elemen yang diperlukan agar menepati ekspektasi guru dan meningkatkan kualiti pembelajaran.

Portfolio membolehkan guru menemui dan mengenal pasti apa yang pelajar fikirkan, apa yang mereka harga dan siapakah mereka sebenarnya. Sekiranya digunakan dengan betul dan bijak, portfolio akan menjadi alat yang paling lengkap untuk mendokumentasikan perkembangan, usaha dan pencapaian pelajar. Ia menggambarkan tentang hasil kerja pelajar. Sekiranya dalam portfolio tersebut disertakan juga refleksi pelajar, guru akan dapat mengenal pasti apa yang pelajar fikir tentang dirinya sebagai seorang pelajar. Portfolio merupakan koleksi hasil kerja pelajar yang menunjukkan tentang usaha (semua perancangan dan draf yang membawa kepada hasil akhir), kemajuan (kerjaasas, pembetulan serta contoh hasil kerja) dan pencapaian pelajar (hasil terbaik). 

Apabila merancang untuk menggunakan portfolio, guru perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:
Ketabahan / ketahanan: melibatkan kerja berterusan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu, penjelasan langkah-langkah yang diambil, draf, semakan, pembetulan, penambahbaikan dan perubahan-perubahan lain.
Komunikasi: melibatkan penggunaan jadual, graf, gambar rajah serta lakaran serta penjelasan bagi setiap langkah yang diambil.
Pembacaan dan penulisan: melibatkan pendokumentasian segala yang berlaku dalam bentuk penulisan hingga kepada hasil terakhir termasuk bukti-bukti bahan bacaan yang menjadi rujukan.
Kolaborasi:melibatkan sekurang-kurang satu orang lain atau rakan yang turut bersama memberi pandangan serta membantu untuk menyempurnakan tugasan.
Kemahiran analitikal: penulisan yang membuktikan analisis situasi serta dokumen dilakukan.

Apabila pelajar bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka sendiri, mereka akan merenung (refleks) pencapaian mereka, menilai kerja mereka, membuat keputusan di mana perubahan perlu dilakukan, menentukan matlamat dan memasikan strategi mana yang paling baik dan mantap untuk mencapai matlamat terbaik.Sekiranya pelajar ingin menjadi lebih berfikrah, mereka perlu diajar bagaimana melakukan analisis dan penilaian ke atas kerja mereka. Guru perlu membantu pelajar menentukan matlamat yang mencabar serta realistik secara berterusan. Untuk membolehkan pelajar menjadi refelktif serta menghargai proses berfikir, guru sendiri perlu mengamalkan serta menghargai refleksi kendiri. Apabila guru menghargai refleksi kendiri dan refleksi para pelajarnya, proses pembelajaran menjadi sama penting dengan hasil pembelajaran. Fokus penilaian berlaku bukan sekadar apabila projek telah diselesaikan tetapi berlaku sepanjang tahun persekolahan. 

Kajian tindakan merupakan satu proses bertanyakan soalan-soalan penting serta mencari jawapan secara sistematik. Soalan-soalan ini menjadi sangat bermakna, iaitu guru ingin mencari serta perlu mengetahui jawapan kepada soalan-soalan yang berkaitan dengan tugas dan kerjayanya. Kajian tindakan menjadi sangat praktikal di mana guru sebagai penyelidik, menjadi sebahagian daripada penyelidikan berkenaan. Penyelidik guru akan menyelidik masalah serta amalan dirinya sendiri. Kajian yang dilakukan bersifat sederhana, terkawal dan mengenai tugasnya sebagai guru. 
 
  
-        Updated 24 Feb 2017

P        

Saturday 6 August 2016

KBAT Tidak Mengelirukan



Artikel ini ditulis ekoran permintaan seorang pendidik (nama dirahsiakan) yang mengajar di sebuah institusi pendidikan di semenanjung (Malaysia Barat) tetapi masih keliru mengenai elemen KBAT dalam perancangan pengajaran meskipun beliau telah berkali-kali mengikuti kursus-kursus KBAT. Jangkaan saya adalah ekoran daripada bahan yang agak mengelirukan yang diterbitkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2014, dengan judul Elemen KBAT Dalam Pedagogi.Mari kita lihat apakah isunya.

Saya tidak bertujuan mempertikaikan apa yang telah dihasilkan oleh PPK. Saya cuma meminta guru-guru semua, khususnya guru Pendidikan Islam, agar menjadi lebih peka dengan kesahan dan kebolehpercayaan maklumat yang diperoleh.

Pengajaran dan pembelajaran ke tahap KBAT

Apabila bercakap tentang KBAT sebagai elemen dalam pedagogi, kebanyakan guru melihatnya sebagai penggunaan elemen penyoalan dan teknik penyoalan. Mengapa? Tidak lain tidak bukan kerana bahan yang mereka peroleh daripada Bahagian Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia hanya mengemukakan soalan sebagai elemen dalam pedagogi meskipun buku tersebut telah menyenaraikan 6 alat berfikir.  Sebanyak 8 contoh mata pelajaran dikemukakan dan kesemua contoh hanya menggunakan elemen dan teknik penyoalan. Ia sangat tidak tepat dengan judul artikel yang seharusnya mengemukakan elemen KBAT dalam Pedagogi. Malah untuk dikategorikan sebagai pelbagai teknik mengemukakan soalan juga tidak tepat apabila penyoalan itu sendiri dilihat sebagai satu kaedah / teknik pengajaran dan pembelajaran. Contoh-contoh soalan yang dikemukakan dalam bahan berkenaan tidak menjelaskan tentang teknik-teknik penyoalan.


Diperoleh dari:


Apakah Teknik Penyoalan?

Istilah teknik menjelaskan bagaimana melakukan sesuatu. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, teknik penyoalan menjelaskan kepada kita tentang bagaimana guru mengemukakan soalan kepada pelajar atau pelajar mengemukakan soalan antara sesama pelajar. Istilah "bagaimana" menjelaskan apa (aktiviti) dan cara melaksanakannya. Apabila kita membicarakan tentang teknik penyoalan, maka penjelasan ciri-ciri berikut menjadi lebih bermakna.

A)   Soalan Lisan dan Tulisan (tulisan tangan atau bercetak)

B)   Soalan terbuka dan tertutup.

C)   Penggunaan 6 jenis soalan-soalan Soktarik.

D)   Masa menunggu (waiting time).

E)   Tahap soalan (berdasarkan kepada Taksonomi Kognitif Bloom atau Anderson dan Krathwohl).

F)    Penggunaan 7 lingkaran soalan serta 5W1H.

G)   Mengulangi soalan.

H)   Menjawab soalan dengan soalan.

I)     ....dan banyak lagi.


Pedagogi

Guru perlu memahami apa erti pedagogi. Ringkasnya pedagogi (the science and art of teaching) bermaksud kaedah dan amalan pengajaran terutamanya dengan melibatkan mata pelajaran akademik atau konsep-konsep teoretikal. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, pedagogi menjelaskan dua perkara: pemindahan ilmu dan pembinaan ilmu. Ia berkenaan bagaimana guru memindahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar atau dalam konteks konstruktivisme, bagaimana guru membuatkan pelajar dapat membina ilmu pengetahuan serta dapat diaplikasikan ke dalam dunia sebenar. Guru akan menggunakan pelbagai pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang sesuai dengan kumpulan murid / pelajar untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran berkesan.


Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

KBAT merupakan satu konsep reformasi pendidikan berdasarkan kepada taksonomi pembelajaran (kognitif). KBAT menjelaskan bahawa sesetengah pembelajaran memerlukan lebih kepada proses kognitif (berfikir) selain terdapat juga faedah lain daripada KBAT yang lebih umum. Proses berfikir memerlukan alat-alat berfikir seperti Peta Minda, Pengelola (Organizers), CoRT, Soalan dan sebagainya untuk membolehkan sesuatu konsep itu dibentuk atau dibina (concept formation) serta membolehkan konsep-konsep tersebut dikaitkan antara satu dengan lain (concept connection). Berdasarkan kepada Taksonomi Bloom (Bloom, 1956), tahap berfikir aras tinggi melibatkan proses penilaian, sintesis, analisis dan aplikasi. Sebaliknya melibatkan mencipta, menilai, menganalisis dan mengaplikasi jika disandarkaan kepada Taksonomi Anderson dan Krathwohl (2000). Proses mencipta, menilai, menganalisis dan mengaplikasi ini berlaku dalam pemikiran dan ditransformasikan dalam bentuk yang boleh dilihat, iaitu hasil proses kognitif tersebut, di atas kertas, dalam bentuk lakaran, objek atau pernyataan lisan.


Elemen KBAT dalam Pedagogi

Apabila kita ingin menyentuh tentang elemen KBAT dalam Pedagogi, kita perlu melihatnya dengan lebih luas dengan melibatkan aktiviti selain penyoalan. Contohnya aktiviti menyenarai, mencerakin, menghasilkan, mengaitkan, menggunakan, menyelesaikan masalah, kajian kes, mengklasifikasi, menunjuk cara, mengukur, menjangka, menterjemah, menggunakan peraturan atau rumus, mendefinisi, melakar, mencipta dan sebagainya yang boleh dilakukan dalam kelompok kecil, kelompok besar atau secara individu. Contohnya, sekumpulan 4 orang pelajar diminta melengkapkan atau menghasilkan satu lakaran untuk menjadi sesuatu yang bermakna kepada mereka dan diminta untuk menjelaskan mengapa ia dianggap bermakna.


Elemen KBAT dalam Pedagogi juga terdapat pada bahan sumber pengajaran dan pembelajaran. Contohnya gambar objek tersembunyi (yang memerlukan pelajar mencari, dan menganalisis gambar berkenaan) dan seterusnya diikuti dengan aktiviti mencerakin dan menghimpunkan objek-objek tersebut mengikut kategorinya.


Termasuk dalam pedagogi juga adalah peranan guru dalam bilik darjah: pemudahcara, pendeta, perancang, pengatur, pengurus.... dan dalam konteks Islam, guru berperanan sebagai muallim, muaddib, mudarris, murabbi dansebagainya. Guru sebagai pemudahcara akan lebih banyak menggunakan elemen KBAT berbanding guru sebagai penyampai maklumat sehala seperti seorang pendeta atau khatib di mimbar masjid. 


Contoh yang mengelirukan

Berikut merupakan snapshot halaman 10, 11 dan 13 daripada bahan Elemen KBAT Dalam Pedagogi.


Meskipun halaman 10 ini memuatkan soalan aras rendah, soalan-soalan yang dikemukakan agak kurang jelas menepati tahap kognitif Mengingat dan Memahami. Soalan Apakah bahan tinggalan Sejarah yang terdapat dalam muzium? tidak mencapai tahap memahami. Pelajar hanya perlu ingat semula (setelah dipertunjukkan sama ada melalui gambar, tayangan video atau setelah sesi lawatan) apa bahan-bahan Sejarah yang terdapat dalam muzium dan menyatakan semula. Soalan tersebut hanya berada pada tahap mengingat. Cuba bandingkan dengan soalan bertikut:

Bahan tinggalan Sejarah yang bagaimanakah layak untuk disimpan dalam muzium? Soalan ini memerlukan pelajar benar-benar faham tentang ciri dan kualiti (nilai sejarah) bahan yang layak untuk disimpan dalam muzium. Bermakna, apa juga bahan yang mempunyai ciri dan kualiti (nilai sejarah) berkenaan (setelah difahami oleh pelajar) adalah layak untuk disimpan dalam muzium. Dengan pemahaman tentang ciri, kualiti serta nilai sejarah sesuatu bahan, pelajar akan dapat memberikan lebih banyak contoh seperti kapal terbang dan kapal perang lama yang terdapat di Muzium Angkatan Tentera atau dapur pembakar roti di Muzium Roti.

Untuk mata pelajaran Kemahiran Asas Individu (Masalah Penglihatan), soalan yang dikemukakan untuk aras memahami adalah ‘Apakah yang kamu gunakan untuk membersihkan meja?’. Soalan ini juga hanya pada aras mengingat. Pelajar hanya perlu mengingat apakah bahan yang telah digunakan (di rumah atau setelah dimaklumkan oleh guru)dan menjawab soalan tersebut. Jika diganti dengan soalan ‘Mengapakah meja makan perlu dibersihkan?’, maka pelajar perlu memahami aspek kebersihan dan kesihatan serta ciri alat yang boleh membersihkan terlebih dahulu untuk membolehkannya menjawab soalan dengan lebih baik.



Sekarang kita lihat pula contoh soalan aras tinggi untuk mata pelajaran Sejarah. Contoh soalan pada aras analisis ialah ‘Apakah perbezaan keluarga asas dengan keluarga kembangan? Soalan ini juga apabila diteliti, hanya patut berada pada aras mengingat atau memahami. Pelajar boleh sahaja menjawab soalan tersebut dengan membaca dan memahami petikan mengenainya. Untuk aras menganalisis, aktiviti menganalisis perlu berlaku dalam pemikiran. Contohnya, ‘Dengan berpandukan carta yang disediakan, apakah ciri-ciri yang membezakan antara keluarga asas daripada keluarga kembangan?’. Walau pun soalan masih bermula dengan kata tanya ‘Apakah’, namun untuk membezakan antara ciri keluarga asas dan keluarga kembangan, pelajar perlu melakukan analisis ke atas maklumat yang dikemukakan iaitu carta keluarga, atau untuk yang lebih sukar contohnya melalui kajian kes. Seterusnya pelajar perlu mengkategorikan maklumat tersebut kepada persamaan dan perbezaan sebelum dapat menjawab soalan. Terdapat kemungkinan pelajar menjawab soalan ‘Apakah perbezaan keluarga asas dengan keluarga kembangan?’ dengan betul tetapi jawapan yang betul, boleh sahaja diperoleh tanpa menganalisis data atau maklumat. Apa yang dikehendaki ialah proses menganalisis berlaku dalam pemikiran (barulah sampai ke tahap menganalissi) dan bukan sekadar memberi jawapan betul atau salah.


Soalan ‘Apakah kepentingan belajar Sejarah?’ tidak sampai kepada tahap menilai. Pelajar hanya perlu mengingat apa yang telah dijelaskan oleh guru dan menyatakan semula, malah boleh menjawab dengan betul tanpa perlu memahami fakta-fakta yang menjelaskan tentang kepentingan belajar Sejarah. Cuba bandingkan dengan soalan ‘Mengapakah Sejarah dikatakan sebagai mata pelajaran penting untuk dipelajari oleh semua murid / pelajar?’ Soalan begini baharulah pelajar perlu membuat penilaian tentang kepentingan Sejarah dari pelbagai perspektif. Jawapan kepada kedua-dua soalan mungkin sama tetapi proses dalam pemikiran tidak serupa.


Snapshot di atas diambil daripada halaman 13 untuk mata pelajaran Pendidikan Seni Visual. Soalan ‘Bagaimanakah ton boleh dicipta melalui garisan dalam mewujudkan bentuk ilusi? tidak menyebabkan ton terhasil tetapi sekadar penjelasan bagaimana ton terhasil. Soalan ini lebih tepat berada pada aras menganalisis. Bandingkan dengan soalan ‘Sekiranya anda diminta melukis sebuah kotak tiga dimensi hanya dengan menggunakan pensel, tunjukkan bagaimana anda dapat menghasilkannya?’ yang lebih jelas. Semua contoh yang dikemukakan dalam bahan edaran berkenaan hanya dalam bentuk soalan. namun begitu, seperti yang dijelaskan, KBAT tidak hanya bergantung kepada soalan. Untuk aras mencipta, guru boleh saja meminta pelajar menghasilkan lakaran objek menggunakan ton warna atau ton gelap terang pensel. Soalan akan muncul dalam pemikiran pelajar seperti "Nak lakar gambar apa?" dan "Bagaimana menggunakan ton untuk menghasilkan lakaran yang lebih bersifat seni?" Dua soalan begini akan menghasilkan lakaran dan itulah aras mencipta.


Contoh-contoh soalan yang dikemukakan dalam bahan ‘Elemen KBAT Dalam Pedagogi’ beginilah yang boleh mengelirukan pembaca. Terdapat beberapa contoh lain yang agak mengelirukan aras soalannya tetapi saya tidak menyentuh kesemuanya. Cukup sekadar contoh yang saya berikan. Para pembaca boleh fikirkan sendiri. Oleh itu, guru-guru Pendidikan Islam khususnya, perlu terlebih dahulu memahami makna tahap-tahap kognitif seperti yang dikemukakan oleh Anderson dan Krathwohl (2000), sebelum dapat membina soalan yang tepat dengan aras-aras tersebut.

Rumusannya, elakkan daripada melihat elemen KBAT hanya dalam bentuk aplikasi soalan semata-mata.